Album muzik yang abang Ridhwan suka? – Fiona Fluoresen, tumblr

Senarai ini apa yang sempat saya fikir, terutama kesukaan saya terhadap seluruh pengalaman album itu. Sebab kadang-kala saya suka beberapa lagu, tetapi tak begitu minat bagaimana seluruh album itu disusun.

Pilihan ini merangkumi album dan ada satu EP terselit. Ia disusun secara kronologi dari yang paling awal muncul hingga yang terkemudian. Ia tiada kena mengena dengan kronologi bila saya dengar album-album ini. Sebagai contoh la ni saya sedang layan Ascension (1966) selepas mendengar Giant Steps (1960) oleh John Coltrane. Tetapi album seperti Real Life (1978) antara album terawal yang saya dengar betul-betul (terima kasih kepada internet), dan saya masih ingat saya dengar ia sekali dengan Marquee Moon (1977) oleh Television. Giant Steps dan Marquee Moon ini sendiri album yang hebat, tetapi oleh kerana saya perlu pilih, saya akan pilih ikut suka.

Dari segi diskografi pemuzik-pemuzik ini, biasanya saya dengar seluruh body of work mereka (kecuali John Coltrane yang masih saya pelan-pelan kayuh, ada album yang belum dilayan.) Untuk My Bloody Valentine saya cuma dah dengar tiga atau empat EP mereka. Loveless (1991) sampai la ni saya tak boleh masuk. Velvet Underground, Lou Reed, David Bowie, Brian Eno, Cocteau Twins pula dah dikhatamkan, alhamdulillah. Lagi dua album Magazine masih belum berkesempatan dengar walau bagaimanapun.

10 album + 1 EP ini saya pilih juga dengan niat yang saya akan revisit untuk ulang dengar lagi di masa depan, atau jika berduit ingin simpan versi fizikal. Selain itu, pilihan ini saya pilih sebab saya rasa ia tak terlalu obvious menjadi pilihan yang dikongsi orang ramai. Sebagai contoh saya tak bubuh The Dark Side of The Moon (1973) oleh Pink Floyd. Kalau Sonic Youth saya suka album Washing Machine (1995), tapi saya rasa saya tak perlu sebutkan dalam senarai. Begitu juga halnya dengan Homogenic (1997) oleh Bjork. Saya suka Telex, tapi tak pula saya tahu nak pilih album mana. Tiada album dari Malaysia, sebab saya tak pasti nak pilih album apa. Sebagai lagu ada saja yang saya suka, tapi sebagai album, susah untuk saya buat keputusan. Saya was-was. Jadi tanpa berlengah ini pilihan album kegemaran saya, buat masa ini, dan sudah tentu ia akan berubah bila ditanya lagi di masa hadapan.

coltrane love supremecoltrane ascension

A Love Supreme (1964) / Ascension (1966) – John Coltrane

Saya tak fasih dan dengar muzik jazz sangat, tapi pintu yang buka saya ke arah ini ialah Miles Davis dan John Coltrane. Saya dengar dua-dua dan entah kenapa saya rasa dekat dengan John Coltrane. Ia macam tepat dan ganas, cara muzik ini dimainkan. Ia berat dan penuh. Selain Giant Steps saya juga dengar Blue Train (1958) sekali dalam proses meneroka daerah jazz ini. Dan bila difikirkan empat album John Coltrane yang saya dah dengar Blue Train, Giant Steps, A Love Supreme dan Ascension ini super solid sebagai album. Saya pilih dua yang terakhir ini, sebab ia sedang dan kerap saya ulang dengar. Dan saya tak sabar untuk dengar album-album lain!

velvet white light white heatvelvet underground

White Light/White Heat (1968) / The Velvet Underground (1969) – The Velvet Underground

Semua yang minat muzik mesti dah dengar The Velvet Underground, cuma di luar kerangka ini, masih ada ramai, dan terutama dalam konteks Malaysia, rasanya ada berjuta orang yang belum dengar muzik dari kugiran ini. Ia sedikit menyedihkan kalau ada di kalangan penulis/pembikin filem/penggiat teater yang tak dengar dua album ini, + termasuk yang kaver pisang bersama Nico sekali jika mahu. Ia tender, lucu, kasar, gelap, dari Candy Says/After Hours ke Venus In Furs/Sister Ray! Ia mengubah cara kita mendengar.

lou reed berlin

Berlin (1973) – Lou Reed

Saya sedang hadam perlahan-lahan album ini dan ia makin lama makin berkesan buat saya. Ia rasa pedih dan dalam.

bowie ziggybowie low

The Rise and Fall of Ziggy Stardust (1972) / Low (1977) – David Bowie

Kegemaran sepanjang masa. Ketika pertama kali dengar Low, ia buat saya betul-betul kagum, saya dapat nampak dunia yang digambarkan via muzik. Dan gambaran-gambaran ini berbentuk emosi. Ia malah terasa ada cerita, meski tanpa kata-kata. Dalam The Rise and Fall of Ziggy Stardust pula ia ketara bahawa David Bowie ialah seorang storyteller. Sedap mendengar suara arwah bercerita.

magazine real life

Real Life (1978) – Magazine

Saya begitu gemar lagu-lagu dalam album ini, malah saya pernah guna lagu Motocade untuk filem pendek Mautopia (2011). Ia ada nuansa video game Sega (yang akan muncul di era 90an), trek-trek seperti Definitive Gaze (rentak Sonic the Hedgehog diambil dari lagu ini?), My Tulpa, Parade. Ia terasa ada urgency tetapi dalam masa sama rasa lucu.

eno apollo

Apollo: Atmospheres and Soundtracks (1983) – Brian Eno

Kita boleh saja masukkan Another Green World (1975), tapi entah kenapa saya dekat dengan album ini. Ia beri saya ruang untuk merasa angkasa lepas, dengan planet bumi semakin mengecil dan ditelan zat hitam semesta. Dengan petikan gitar koboi Amerikana Deep Blue Day sebagai bekal nostalgia yang dibawa ke angkasa, seraya cahaya bintang/matahari terbit di jendela roket.

cocteau twins heaven or las vegasbloody valentine glider

Heaven or Las Vegas (1990) – Cocteau Twins / Glider (1990) – My Bloody Valentine

Jika Apollo: Atmospheres and Soundtracks bawa kita ke angkasa dan Low bawa kita ke terrain asing, Heaven or Las Vegas dan Glider akan bawa kita ke alam mimpi/nyata dengan suara malaikat/manusia.

– Ridhwan Saidi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s