Ridhwan Saidi Dalam Lima Bentuk Seni

Siri video lima episod perkongsian tentang seni teater, filem, puisi, novel dan photobook oleh Ridhwan Saidi bersama teman-teman.

Lima tetamu yang dijemput: Ani Aziz, Mah Jun Yi, Ali Aiman Mazwin, Archana Pillai dan Meier Wee. Pemilihan tetamu ini sengaja saya pilih mereka yang kurang arif secara spesifik terhadap medium yang dikendali. Misalnya Ani Aziz lebih familiar dengan novel dan kerja teater saya tapi kita berborak tentang photobook. Tujuannya adalah untuk saya terima soalan yang umum, selain sedikit sebanyak ia menjadi semakin spesifik. Ini kerana video perkongsian ini cuma 5-10 minit (dalam proposal), maka saya tak mahu kita pergi terlalu mendalam dan fokus ke satu-satu work spesifik seperti teater Stereo Genmai misalnya, atau filem Tiada Cinta Selama Muda, atau novel Mautopia. Untuk setiap judul atau hasil kerja saya, saya boleh cakap berjam-jam untuk kongsi prosesnya. Maka di dalam projek ini, kita cenderung untuk bermula dengan sesuatu yang umum (kenapa saya pilih medium tersebut dan bagaimana saya bekerja), dan kemudian baru sedikit sebanyak sentuh hasil kerja yang spesifik (kerana setiap karya ada memori dan cara kerja yang berbeza).

Untuk setiap tetamu direction saya adalah untuk kita bercakap, dan terus bercakap sehingga akhirnya kita lupakan kewujudan kamera. Saya dapat rasa ada di antara teman-teman ini yang sedikit gugup dan rasa janggal awalnya (sebab kita di tempat terbuka, dengan kamera bagai, ia jarang-jarang dibuat), jadi tugas saya juga selain ingin berkongsi, cuba untuk mewujudkan perasaan selesa.

Untuk dirakam video perlukan keberanian kerana kita mungkin boleh tersilap cakap, tapi saya sentiasa sedar, video cuma merakam diri kita di momen itu sahaja. Andai anda tanya soalan yang sama kepada saya sekarang, responsnya boleh jadi berbeza. Tetapi untuk ada kesedaran dirakam, kita perlu fokus dan minum kopi (espresso-based) sebelum setiap kali sesi agar minda jadi terang.

Dari Shah Alam, ke Old Klang Road, ke Bandar Sunway, ke Klang, ke Kuala Lumpur. Hanya episod bersama Ali Aiman kita buat di dalam kereta sebab hari hujan. Yang saya rasa, bila kita cakap duduk, ia tak selancar bila kita cakap sambil berjalan. Bercakap fasal seni sambil berjalan kaki memang syok dan rasanya tak pernah saya buat dalam hidup!

Dengan sokongan CENDANA Malaysia #CENDANACreateNow