Ada banyak dan setiap hari saya sentiasa menemui filem-filem baru yang hebat, tetapi enam filem yang saya pilih ini semacam ada sesuatu yang lekat dengan saya, dan barangkali juga sengaja saya pilih filem-filem ini dari daerah berbeza, selain saya rasa ia kurang ditonton oleh ramai orang. Pilihan ini agak spontan, tapi jika ditanya sekali lagi di masa hadapan, sudah tentu jawapan saya akan bertukar.
A MAN ESCAPED (1956) oleh Robert Bresson
Terkunci di dalam atau terkurung di luar, ia dekat dengan saya situasi untuk melarikan diri ini, dalam kes ini, keluar lari dari kem tentera Nazi, tetapi keluar untuk masuk ke dalam malam, ke dalam ruang gelap sinema. Salah satu filem kegemaran sepanjang zaman. Saya tonton filem ini lama selepas Stereo Genmai, dan ia buat perasaan saya berputik kembali dengan nuansa malam, gelap dan sepi ini, yang saya pasti setiap orang pun akan mengalaminya.
CHINTA KASEH SAYANG (1965) oleh Hussein Haniff
Filem Melayu yang paling banyak saya ulangtonton—filem Melayu kegemaran saya. Momen Latifah Omar di stesen keretapi antara momen yang sentiasa menggerakkan. Suntingan filem sebagai bahasa yang jarang kita temui dalam semua filem Malaysia hari ini. Pendek kata rata-rata filem Malaysia tak faham bahasa. Namakan saya satu filem Malaysia yang bagus dan saya berani jamin kefasihan suntingannya dalam bercerita tidak pernah sebaik air tangan Hussein Haniff.
THE CRAZY FAMILY (1984) oleh Sōgo Ishii
Filem ini sudah lama saya tonton, tapi entah kenapa ia ada unsur humor yang masih saya ingat sampai sekarang. Saya suspek ia boleh resonates dengan situasi kehidupan berkeluarga di Malaysia hari ini. Babak ingin pulang ofis dengan cepat dengan syot lari dalam komuter cukup lucu. Nuansa histerikal jarang diteroka dalam karya-karya di Malaysia, sesuatu yang saya rasa ada potensi.
SIMON OF THE DESERT (1965) oleh Luis Bunuel
Satu lagi filem yang lucu dengan adegan penamat yang hebat. Kependekan durasinya iaitu 45 minit tak mengubah perasaan saya apabila menikmatinya. Benar, Bunuel ada banyak filem lain yang kuat dan hebat seperti THE EXTERMINATING ANGEL (1962) antaranya, tapi yang ini memang keras. Ia mengingatkan perasaan saya ketika menulis novel Cekik.
MANILA IN THE CLAWS OF LIGHT (1975) oleh Lino Brocka
Filem yang telah beberapa kali diulangtonton dan seperti CHINTA KASEH SAYANG, untuk setiap kali ulang ada benda baru yang saya dapat. Saya dapat rasa semangat kota Manila yang kuat, dan terfikir jika ada filem tempatan yang boleh tangkap semangat Kuala Lumpur sekuat ini.
SUNRISE: A SONG OF TWO HUMANS (1927) oleh F. W. Murnau
Naratifnya serupa seperti MANILA IN THE CLAWS OF LIGHT di mana kejahatan datang dari kota dan merosakkan anak gadis kampung, dan dalam kes ini ingin berkomplot membunuh isteri di kampung kepada suami yang curang. Ia ciri-ciri yang biasa kita temui dalam karya-karya lokal tidak kira novel mahupun filem, tetapi ia masih boleh diterima. Saya benci karya yang mendakwahkan bahawa kebaikan cuma berada di kampung, manakala kejahatan sentiasa di bandar, tetapi ia berkesan untuk dua filem ini. Malah bagi SUNRISE, cinta antara suami isteri itu berputik kembali di kota. Ia melangkaui cara penyampaian didaktik kita yang cenderung malas, tidak bijak dan meraikan kebebalan. Ini belum saya sentuh tentang penggunaan teknologi dan skil yang digunapakai dalam filem ini, yang membuatkan kita ketinggalan jauh, dan ini bukan teknologi dan skil semata, tapi apa yang boleh ia beri, iaitu kekuatan imej itu sendiri.
– Ridhwan Saidi