Boleh saya tahu dewasa ini saudara Ridhwan suka makan di mana, selain dari masakan rumah? – Roy Osmera, snail mail

Dewasa ini ada beberapa tempat yang saya kerap makan atau jika ada waktu, saya akan singgah untuk makan bagi meraikan sesuatu. Sudah tentu bila kita gembira, kita tak mahu kegembiraan itu pudar dengan memakan makanan yang belum tentu kesedapannya. Dan kadang-kala bila bersedih, penting juga untuk kita makan makanan yang sedap untuk menaikkan spirit kita. Mungkin ia tidak akan berkesan secara langsung, tetapi pokoknya kita perlu tahu untuk makan apa di waktu yang bagaimana.

Kesedapan perlu muncul tanpa disangka, jadi ideanya saya tidak akan menjadikan tempat-tempat makan ini sebagai rutin, kerana ada beberapa lagi tempat yang saya gemar pergi. Lima yang saya pilih ini barangkali sebab ia ruang yang kerap saya lalu dewasa ini.

Sebagai konteks saya tinggal di Alam Budiman, ia terletak di sebelah UiTM Puncak Perdana, dan juga berdekatan lokasi di mana Altantuya Shaariibuu diletupkan dengan C4. Jika menuju ke belakang kita terus sampai ke Puncak Alam di mana Sufian Abas tinggal, jika belok kanan sebelum itu, kita akan sampai ke Saujana Utama di mana Saat Omar tinggal, dan jika belok kiri sebelum itu lagi kita akan sampai Meru di mana Mohd Azmen tinggal. Jika kita berpatah ke hadapan kita akan sampai stadium Shah Alam tetapi sebelum itu kalau belok kanan kita akan masuk Bukit Jelutong di mana Roshafiq Roslee tinggal dan kalau belok kiri pula kita akan masuk TTDI Jaya di mana M. Faiz Syahmi (pernah) tinggal. Sebelum semua itu kita juga boleh ke kiri untuk ke Kota Damansara atau Kelana Jaya melalui Subang. Siapa tinggal di situ? Tak perlulah saya namakan di sini.

1. Vanggey, Kampung Attap

Bila ada waktu ke Kuala Lumpur di waktu siang, saya cenderung untuk makan nasi dengan ayam merah dan sambal kelapa di sini. Ia tenang dan tak ada orang, jadi saya selesa untuk makan tanpa ada perasaan stress. Saya tiada niat mahu membandingkan antara nasi di sini dengan nasi Vanggey di Ipoh, tetapi jika dipaksa buat pilihan sudah tentu saya pilih yang ini, sebab ia di Kuala Lumpur. Seperkara yang saya gemar, ia antara spot di KL yang mudah untuk parkir kereta. Jika saya mahu jumpa orang yang memandu, senang untuk tarik mereka ke area Kampung Attap ini. Selain itu dari sini, dekat untuk ke Pusat Dokumentasi Melayu di DBP.

2. Ras Balouch, Jalan Ipoh

Di waktu lewat malam pula, jika saya berada di Kuala Lumpur, saya akan singgah ke sini. Ia kawasan dengan sederet restoran Pakistan, tetapi saya tak pernah cuba yang lain. Menu wajib cuba bagi yang pertama kali tiba ke sini ialah kebab dagingnya (persis patties burger) dimakan dengan naan atau capati. Meski rasanya sudah semakin mild (kurang berempah dan pedas), jika dibanding sewaktu saya awal makan di sini beberapa tahun lalu, ia masih memuaskan. Teh susu lembu sentiasa saya pesan. Bila boring dengan roti, saya akan ambil nasi. Ia semakin ramai orang dewasa ini, membuatkan posisi untuk duduk di siar kaki berlangitkan malam, kena ikut nasib. Saya makin kerap ke sini apabila setiap minggu saya perlu ke KLpac bagi siri kelas The New Play Project selama 6 bulan.

3. Nasi Kukus Selera Timur, TTDI Jaya

Saya biasa ambil nasi satu setengah, kadang-kala bila lapar dua, dengan kuah campur dan satu lauk. Dulu ada itik serati yang saya gemar ambil, tetapi tahun ini menu ini telah hilang, dan bila ditanya katanya itik itu sudah susah untuk didapati. Ia buat saya sedar yang resepi masakan pun boleh pupus. Alternatif kepada itik serati, biasanya saya ambil ayam percik. Selain itu, di sini juga ada daging kerutuk, tetapi saya lebih prefer daging kerutuk yang dijual di kawasan rumah saya.

4. Subaidah, Space U8, TTDI Jaya

Ini tempat baru yang kebetulan saya jumpa selepas menonton wayang di tempat yang sama. Saya makan nasi kandarnya dengan lauk ayam tiga rasa atau ayam tandoori, dengan kuah campur dan sayur macam biasa, dan dalam masa sama suka saya minta yogurt bawang yang biasa diberi ke nasi briyani, tapi dalam konteks ni saya makan nasi putih. Telah dua kali saya ke sini dan ia menyelerakan. Ia akan jadi alternatif kepada nasi kukus di atas yang lebih murah. Lebih-lebih lagi lepas waktu pejabat ia jadi tenang dan tidak semak, saya sentiasa suka tempat makan yang tak ramai orang. Nota tambahan: saya pernah ke sini di waktu malam dan ia jadi suatu tempat yang teruk malah masakan goreng-gorengnya gagal, tapi saya fikir ia masih okay jika di waktu tengahari pasca tonton wayang.

5. Ichiro Sushi Bar, One Utama

Biasanya saya ambil set salmon untuk meraikan sesuatu. Dewasa ini saya juga menggemari kurita, tapi belum pernah dicuba di sini. Ia kedai paling mahal dalam senarai ini dan terletak di dalam pusat beli-belah (Space U8 pun pusat beli-belah tapi ia lain dan terbuka, jadi tak rasa terkedap). Terletak di tingkat atas, dan dalam bucu asing, ia sekali lagi sebuah ruang tersembunyi dan tak ramai orang, yang saya suka. Biasanya saya datang ke sini di waktu malam.

Anugerah khas:

6. Nasi padang, Taman Medan

Jika termasuk NPE, saya akan singgah ke sini untuk makan nasi dengan daging rendang. Ia sesak di waktu lunch hour dan saya tidak suka, malah rasanya boleh jadi tidak memuaskan dengan keramaian orang ini. Ia menjadi sedap apabila ia kosong dan kurang orang di waktu petang.

7. Mee kicap, Kapitol Cafe

Jika ada event di kawasan Sogo atau Maju Junction, dan saya tidak memandu, senang untuk saya ke kedai ini untuk makan mee kicapnya. Entah kenapa saya suka order mee kicap pun saya tidak tahu. Saya juga ada makan nasi padang di waktu tengahari dan satay di waktu petang, yang saya kira sedap, tapi benda utama saya nak makan yang membawa saya ke situ ialah mee kicap. Barangkali dengan situasi ramai orang, dan kadang-kala perlu berkongsi meja dengan orang lain, mee kicap membuatkan saya lebih bersedia untuk kembali berjalan selepas itu—ia antara kenyang tak kenyang, jika dibandingkan ambil nasi.

8. Mee rebus gerai Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh

Saya bukan penggemar mee rebus sehinggalah tiba ke gerai ini. Kuahnya rasa udang dan kentang. Sebelum ini bila saya makan mee rebus saya agak lost, kuahnya sepatutnya rasa bagaimana? Ia terletak jauh ke dalam, dan bila makan biasanya saya akan berpeluh kepanasan. Saya pernah terfikir jika berpeluang untuk makan mee rebus ini dengan tenang, sudah tentu kesedapannya akan bertambah beberapa kali ganda. Sudah lama saya tidak ke sini, terpanggil pula untuk ke sini.

– Ridhwan Saidi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s