Mengapa bertukar/mengembangkan medium (dari buku ke teater)? Mengapa bukan sebaliknya? – Yusof Bakar, Facebook

Penulis tidak perlu label ‘penulis transgenre’ untuk menulis di dalam medium penulisan yang berbeza. Menjadi sifat penulis untuk teroka semua bentuk penulisan sedia ada, baik dalam domain prosa mahupun puisi—novel, cerpen, esei, sajak, pantun dan seumpamanya. (Jika bukan secara menulis, sudah pasti di dalam pembacaan).

Jadi di sini saya tidak ‘bertukar’ atau ‘mengembangkan’ medium penulisan saya, sebab saya masih menulis seperti biasa… seperti sekarang. Menulis untuk diterbitkan sebagai buku dan menulis untuk dipentaskan sebagai teater, kedua-duanya memerlukan teks. Teks ini boleh dihidupkan dengan bacaan yang dibaca di dalam hati oleh seorang pembaca buku/web. Teks ini juga boleh dihidupkan dengan lafaz seorang aktor. Pokoknya saya tidak kisah bagaimana teks ini dibaca atau dilafazkan. Saya cuma pembikin teks.

Bagi soalan susulan pula, kenapa bukan sebaliknya? Saya tidak melihat hubungan ini sebagai satu hala. Malah pada ketika ini, saya sudah ada menulis reviu dan tentang teater di blog dan buku esei saya. Untuk menghadkan medium dua hala antara buku dan teater juga tidak penuh, kerana saya juga ada menulis skrip filpen.

Sebagai penulis saya tidak memilih medium-medium ini. Saya cuma menulis, dan teks-teks yang saya tulis ini yang akan memilih medium yang cocok buat mereka. Ia di luar kelolaan saya.

– Ridhwan Saidi

Ada perancangan tulis novel baru? – Abdullah Hussaini, Instagram

Penghasilan novel tidak boleh dirancang kerana ia persis ‘novelty’ itu sendiri, mesti baru, asli dan aneh. Sesuatu yang baru, asli dan aneh tidak boleh dirancang. Meski saya ada guna elemen merancang, tetapi ia amat kecil berbanding hal-hal lain yang lebih utama iaitu kebolehan untuk menulis itu sendiri. Saya lebih gusar perlu membolehkan diri saya untuk menulis terlebih dahulu, daripada memikirkan sebarang rancangan untuk menulis.

Apa pun, proses penghasilan novel memerlukan energi. Dan energi ini perlu dikumpul. Dalam domain teater dewasa ini, ia membuka saya kepada ilmu dan pengetahuan baru yang dikongsi Artaud, Grotowski, Müller, Brecht, Peter Brook dan ramai lagi yang belum saya terokai. Andai saya akan menulis novel, adakah ia akan berlegar di sekitar tarik nasib seorang aktor sebagai protagonis?

– Ridhwan Saidi

Perlu tak teater ditonton masyarakat umum? Atau hanya yang mencari sahaja yang berjumpa? – Thaaqhib Mohammed , Facebook

Teater sebuah ruang kosong yang sentiasa membuka pintunya seperti perpustakaan, arked permainan video dan panggung wayang. Usaha seterusnya kadang-kala tidak datang dari mereka yang mencari. Kadang-kala teater turut ditonton oleh mereka yang tersesat ke situ, atau dipaksa oleh pasangan atau atas faktor yang kita sendiri tidak pasti. Sewaktu sekolah rendah saya banyak habiskan masa di perpustakaan, sewaktu sekolah menengah di arked permainan video, dan sewaktu universiti di panggung wayang?

Perlu atau tidak teater ditonton masyarakat umum, tidak boleh disyorkan sepenuhnya. Saya lebih menggalakkan individu/masyarakat untuk mengelak teater yang memudaratkan fikiran dan perasaan. Pokoknya saya meraikan semua perkara yang baik dan berkhasiat—buat fikiran dan perasaan. Khasiat dan kebaikan ini tidak seliteral makanan dan penjagaan kesihatan tubuh kita. Dalam seni kita tak perlu sihat sentiasa, adakala kita perlu merasa sakit, untuk membunuh dosa-dosa kecil, untuk kembali sedar di mana kita berada. Teater boleh menggoncang jarak selamat kita dengan realiti.

– Ridhwan Saidi

Berkarya untuk diri sendiri atau orang lain? – Siti Amanda, Instagram

Soalan ini memerangkap dengan dua jawapan objektif yang menghadkan spektrum posisi seseorang individu di dalam masyarakatnya. Hubungan kita dengan masyarakat ada pasang surut kerana kita hidup dalam domain ruang-waktu dan ini akan saya jelaskan dengan analogi mudah dalam senibina.

Rata-rata senibina merangkumi dua ruang utama iaitu ruang peribadi atau ruang awam. Sebuah rumah lebih dekat dengan spektrum ruang peribadi, di mana bukan sebarang orang boleh masuk. Manakala sebuah taman tasik lebih dekat dengan spektrum ruang awam, di mana lebih ramai orang boleh berkumpul. Selain itu ada ruang-ruang yang lebih kompleks dan terletak di antara dua domain peribadi/awam ini seperti: tanah kubur misalnya, atau penjara, atau sekolah, atau pusat beli belah di waktu malam. Ia seakan terbuka buat orang awam, tetapi ia memilih (dalam konteks kubur, ia memilih mereka yang mati), tetapi terkunci dan menjadi peribadi di waktu malam.

Poinnya ialah: adakala saya berkarya untuk diri saya, dan adakala saya berkarya untuk orang lain, tetapi selalunya saya berkarya bukan untuk siapa-siapa. Ia macam isi masa lapang yang biasa kita buat petang-petang di taman tasik.

– Ridhwan Saidi