Aktor pentas bukan sesuatu yang perlu ditekankan Teater Modular kerana ia sudah diisi oleh sekolah-sekolah yang mengajar teater. Ilmu lakonan diperturunkan di sana, dan saya rasa ramai saja aktor berbakat di luar sana.
Teater Modular ingin mengisi aspek lain yang saya percaya kurang iaitu naskah itu sendiri, membuka ruang bagi orang mengarah dan membuka ruang untuk orang produce. Kerana itu medannya playlet, ia pendek dan cocok bagi para amatur. Medan mainan bagi aktor pentas (dalam erti kata sebenar) perlu skala yang lebih panjang.
Dari segi hubungan aktor dengan teks, kita ada: 1. aktor baik membawa teks teruk dan 2. aktor teruk membawa teks baik. Sudah tentu yang terbaik ialah aktor yang baik membawa teks yang baik. Tapi kalau saya perlu pilih dua pilihan tadi, saya akan pilih yang kedua iaitu aktor teruk yang membawa teks yang baik. Mungkin penyampaiannya tidak berkesan, akan tetapi yang masih tinggal ialah kesan bunyi. Kita masih boleh dengar kata-kata dari teks dilafazkan. Ia menjadi persis sesi bacaan. Kita masih boleh ikuti cerita dan terima hikmahnya.
Manakala aktor yang baik membawa teks teruk pula, lebih sukar untuk dihargai. Jika penyampaiannya baik, maka ia sebenarnya sedang menyampaikan sesuatu yang teruk secara berkesan. Dan tiada yang lebih memudaratkan audien selain ini.
– Ridhwan Saidi