Ya, saya sentiasa mendapat A dalam subjek matematik moden, tapi memori atau ingatan saya bersama mata pelajaran matematik ini tidak jelas. Sebaliknya saya lebih ingat matematik tambahan, yang mana sewaktu ujian pertama, ia kali pertama saya mendapat result dengan angka satu digit. Tidak silap saya saya dapat tujuh atau lapan markah begitu, per seratus. Kawan di sebelah saya dapat sifar. Selepas itu berkat dua tahun belajar, ia semakin naik hingga jadi enam puluh lebih.
Saya juga lebih mendekati buku teks matematik tambahan kerana ia bersaiz lebih kecil, meski tebal, dan untuk setiap bab, akan ada ilustrasi dan penerangan comel, tentang sejarah dari mana sesuatu rumus itu muncul. Saya masih boleh ingat desain buku teks matematik tambahan ini. Saya masih boleh ingat beratnya apabila ia dimasukkan ke dalam beg sekolah.
– Ridhwan Saidi