Kerja Tangan isu 8

IMG_6549.jpg

INTERVIU Fazleena Hishamuddin

oleh Ridhwan Saidi

Pertama kali saya bertemu Fazleena semasa mengambilnya untuk berlakon di dalam filpen saya berjudul Mautopia. Saya hilang ingat mengapa atau bagaimana pertemuan ini berlaku, tetapi sesuatu tentang suara Fazleena yang menarik saya untuk ambilnya berlakon. Waktu itu saya rasa suaranya klasik dan sesuai dengan bunyi kata-kata bahasa Melayu. Barangkali hingga sekarang pun perasaan ini masih belum berubah. Berikut merupakan siri interviu yang kami lakukan via Facebook. Fazleena ketika ini baru pulang dari Ubud.

Ridhwan

Waktu kecil Faz sudah ke ada kecenderungan seni, menulis, teater, berlakon? ada ingatan masa lalu yang terlintas?

Fazleena

Soalan ni nostalgik Wan. Faz waktu kecil sangat insecure dan introvert. Sejenis suka menyendiri, malu dan pendiam. Kalau orang datang rumah, saya menyorok dalam bilik tak keluar-keluar sampai tetamu tu balik. Kat sekolah pun sama. Tak ramai kawan. Belajar pun lemah. Cuma dari kecil memang ada diary. Tulis keluh-kesah dalam tu. Haha. Saya rasa abah menjadi faktor terbesar dalam minat suka menulis. Tiap-tiap bulan abah buat pertandingan menulis karangan untuk kami adik-beradik. Tulis apa saja—pengalaman kat sekolah, pasal kawan-kawan, minat, hobi, persekitaran, perasaan dan apa saja. Abah akan beri reward untuk tulisan paling baik menurut dia. Biasanya hadiah yang abah belikan, seperti pencil case, beg sekolah baru, buku, raket badminton, kasut, walkman dan lain-lain. Selalunya saya yang dapat karangan terbaik. Selain beri hadiah, tulisan tu abah akan tampalkan di dinding rumah selama sebulan. Comelkan abah? haha.

Bila masuk sekolah menengah, perasaan insecure masih ada. Cuma kalau tak silap waktu form 4, saya berkawan dengan seorang ni yang bawa saya join group famous kat sekolah. Geng ‘hot stuff’ la orang kata. Geng makwe ni semua cantik-cantik, tapi nakal. Selalu buat onar kat sekolah. Nama diorang je yang penuh dalam buku disiplin. Bila dah rapat dengan geng-geng ni, rasa insecure perlahan-lahan hilang. Saya jadi confident, aktif, rajin dan bersemangat. Walaupun ada juga benda nakal yang saya ikut buat, haha, tapi sesungguhnya peer relationship memang beri effect dalam hidup saya. Setiap ahli kumpulan kami ini minat menyanyi, berlakon dan menari. Dengan kumpulan ini sebelum tamat tingkatan 4, kami menubuhkan kelab budaya dan sastera di sekolah. Saya mula menulis drama pendek dan arahkan pementasan ketika ada acara tertentu anjuran sekolah. Minat menulis, berteater diteruskan ke Universiti dan sehingga hari ini.

Ridhwan

Faz ada belajar psikologi kan waktu di Universiti? Dari mana pula datang yang ini?

Fazleena

Oh ye. Masa degree saya ambil kursus Sains Sosial & Kemasyarakatan dalam major Kesusasteraan Melayu. Jadi Abah minta sambung belajar terus buat masters. Penyelia dan lecturer yang mengajar saya cadang supaya sambung sastera juga. Fokus pada bidang sastera tradisional. Masa tu saya rapat dengan Dr. Siti Zainon, dia mengajar saya sastera tradisional. Dia nak saya jadi tutor di bawah dia. Tapi saya rasa macam nak belajar benda lain. Satu hari saya tunggu bas nak balik kolej. Ada seorang pelajar perempuan ni menangis sebelah saya. Saya rasa curious. Dan kami akhirnya berbual. Saya mendengar dengan tekun. Kalau tak silap saya, dia ada masalah dengan famili di kampung. Mak atau bapanya sakit, sedang waktu tu kami semua dalam minggu peperiksaan. Di akhir perbualan, dia peluk saya dan beritahu yang saya dah selesaikan masalah dia. Saya terpinga-pinga. Sebab saya tak buat apa pun. Saya cuma mendengar. Selepas peristiwa tu, saya call Abah dan bagitau yang saya nak sambung belajar psikologi. Saya fikir, kalaulah saya boleh bantu orang lain dengan hanya mendengar dan belajar memahami tingkahlaku manusia, kenapa tidak? Jadi saya sambung belajar sarjana psikologi, major kaunseling. Sepanjang hidup saya, inilah keputusan yang paling saya tak ralat lakukan. Psikologi banyak menyelamatkan hidup saya.

*Sedikit dramatik, tapi itulah realitinya. Hihi.

Ridhwan

Faz melibatkan diri dengan teater, filem pendek dan penulisan, dalam ketiga-tiga ni boleh kongsi sedikit pengalaman tentang proses? Ada pengalaman tertentu yang Faz ingat atau enjoy atau tak suka bila melakukannya?

Fazleena

Soalan tentang proses ni ambil masa panjang sikit nak jawab Wan. Tapi akan cuba ringkaskan. Kita mulakan dengan teater. Buat teater ambil banyak masa, duit dan tenaga. Disiplin dan komitmen kena tinggi. Latihan untuk pementasan teater ambil masa 3 bulan, jika mahu solid. Ia bergantung juga pada besar mana skala persembahan tu. Kalau monolog, pelakonnya seorang jadi latihannya mungkin lebih ringkas dan sekejap. Tapi kalau skalanya besar, pelakonnya ramai, ia memerlukan latihan yang lama. Bikin teater adalah soal kerjasama kumpulan. Semua orang ada peranan masing-masing. Pelakon di atas pentas bukan saja berlakon sendiri, mereka juga perlu dibantu oleh mereka di belakang tabir. Dan geng belakang tabir ini pula harus selalu fokus dan bersiap-sedia menangani kesilapan yang mungkin terjadi tanpa sedar. Kejayaan teater banyak bergantung pada persefahaman dalam kumpulan. Kita sebagai audience, boleh nampak kalau teamwork sesebuah produksi itu baik. Teater yang baik selalunya berkait dengan ‘kelancaran’. Sebab segala-galanya live. Pernah ada pengalaman bergaduh sesama ahli produksi. Tidak sebulu dengan pendapat masing-masing. Teater tu end product-nya sangat teruk dan hubungan persahabatan itu pun jadi keruh, walaupun produksi sudah berakhir. Itu pengalaman paling pahit berteater.

Filem Pendek—Faz sebenarnya bermula dengan menulis dan mengarah filem pendek sendiri. Tahun 2006 ada sebuah pertandingan anjuran RTM–FINAS, namanya Anugerah Filem Pendek 2006. Entah macam mana rasa nak cuba masuk. Dengan kamera compact Sony yang berharga RM499, Faz dengan dua orang kawan, bikin filem pertama kami. Nostalgia betul. Faz tulis skripnya dan berlakon sendiri, kawan seorang tu arahkan dan sorang lagi edit. Edit pun cuma susun saja footages yang ada dari memory card kamera. Shoot black & white. Sebab tak nak nampak sangat gambar pecah. Haha. Tajuknya ‘Aku Tak Mampu’. Cheesy gilakan tajuk. Haha. Dengan tak ada lighting, dengan audio pun hancur, tapi kami berjaya dapat top 5. Punyalah happy. Kebetulan malam anugerah, Faz ada job hosting di Sabah. Tapi rancangan tu dibuat secara live kat tv. Faz dalam bilik hotel di Sabah depan tv, sedangkan semua kawan-kawan yang bikin shortfilm semua ada dalam auditorium RTM. Kami akhirnya diumumkan pemenang kategori skrip terbaik kategori Eksperimental. Faz pegang tv sambil menangis bila diumumkan tu. Syahdu betul. Tak sangka sangat. Dapat trofi dan duit RM5000. Selepas tu semangat nak buat filem datang berkobar-kobar. Adalah dalam 6-7 filem pendek yang Faz dah buat. Dan beberapa darinya menang anugerah. Alhamdulillah. Waktu zaman tu, memang fenomena bikin filem pendek ni sedang hangat. Jadi sambil-sambil bikin filem sendiri, Faz juga dipanggil berlakon dalam filem-filem pendek orang lain. Kebanyakkannya dari pelajar universiti dan kelompok/komuniti seni. Banyak sangat filem pendek Faz terlibat sebagai pelakon Wan, tak ingat dah totalnya berapa. Berpuluh-puluh juga jumlahnya. Sebab ada yang tak bagi copy cd/dvd kat Faz, so memang tak ingat dah banyak mana. Haha. Ada juga yang dihantar ke festival. Pernah menang pelakon terbaik untuk Visual Award 2012 dengan filem pendek PSP arahan Ande Muhammad. Bikin filem pendek dan terlibat sebagai sebahagian darinya, memang perkara yang menggembirakan. Rasa bebas.

Dari segi penulisan pula, buku pertama Seksi Ovari sebenarnya adalah kutipan dan kata-kata yang saya tulis dari sebuah blog dengan tajuk yang sama. Satu hari Aloy tanya kalau nak buat buku. Bila baca blog itu, dia buat keputusan untuk bukukan. Saya selalu rasa yang Seksi Ovari bukanlah sebuah buku puisi. Ia hanyalah kutipan kata-kata dan peluahan emosi. Dan bila ia keluar dan mendapat feedback dari ramai orang, tentunya ada negatif dan positif. Melaluinya saya belajar banyak benda. Antaranya ialah jangan tergesa-gesa untuk menerbitkan buku. Bibir Ceri Melati, buku kedua yang mengandungi cerpen dan puisi diterima dengan pandangan berbeza dari pembaca. Mereka masih mahu saya menulis seperti dalam Seksi Ovari. Ia juga tak selaris Seksi Ovari. Tapi saya ok. Menulis yang sama seperti khalayak mahu, itu tak mungkin berlaku. Secara jujurnya, saya mahu belajar menulis dengan lebih baik. Ingin melihat penulisan saya berkembang. Sekarang saya banyak menghadiri kelas penulisan dan menghantar karya ke media cetak untuk mendapat feedback dari khalayak yang lebih besar. Selama ini saya tak betul-betul serius menulis. Kerja menulis sesungguhnya sebuah pekerjaan yang memerlukan ketekunan.

Kesemua bidang seni yang saya terokai, secara jujurnya saya mahu pastikan ia berjaya. Berjaya dalam erti kata saya puas melakukannya dan sedikit-sebanyak khalayak mendapat manfaat darinya. Saya tak mahu buat perkara yang sekadar melepaskan batuk di tangga. Saya harap dapat terus bikin teater, filem pendek dan menulis dengan lebih baik lagi.

Ridhwan

Benda-benda lepas memang nostalgia, jadi kita ke masa depan pula. Faz sekarang ada kelola space baru nama Markas, jadi boleh kongsi visi atau apa pelan di masa-masa mendatang?

Fazleena

Yeah, Markas datang dari pemasalahan kurangnya ruang untuk membuat persembahan di sekitar Lembah Klang. Kita ramai graduan seni persembahan, tapi ruangnya terhad sekali. Terutamanya untuk teater. Ada ruang seni di beberapa panggung komersil, tapi kosnya terlalu mahal. Sewaan satu malam mencecah seribu ringgit dan lebih. Dulu kita ada Stor Teater DBP yang beri ruang percuma kepada penggiat seni, tapi masih dalam renovation. Sudah 3 tahun kita menunggu ia dibuka semula. Namun sampai sekarang masih belum. Ini menggelisahkan saya.

Markas ingin saya jadikan sebagai hab seni yang menjadi ruang alternatif kepada penggiat seni yang mahu bikin karya. Bukan terhad kepada teater semata-mata, ia juga ruang untuk diskusi, mini library, pemutaran filem, bengkel, persembahan akustik, pameran lukisan, baca puisi dan lain-lain. Saya juga mengharapkan rakan-rakan karyawan sama-sama boleh memberikan pendapat dan pandangan bagaimana kita boleh memaksimakan ruang ini nanti. Markas disewakan dengan kadar yang berpatutan. Masih dalam pembikinan, saya harap ia menjadi ruang yang boleh diguna-pakai sebaiknya dan memberi manfaat kepada masyarakat. InshaAllah.

Ridhwan

Faz juga sebelum ni ada bikin teater Kota Kelip-Kelip yang disertai anak-anak yatim. Di sini ia seakan ada pertemuan antara hal-hal kemasyarakatan dan psikologi. Ada ke konsep ‘psikologi masyarakat’? atau psikologi terletak di dalam diri individu, dan individu pula ialah unit masyarakat. Boleh Faz kupas sedikit tentang hal ini?

Fazleena

Kota Kelip-Kelip merupakan teater panjang pertama yang Faz arahkan. Dan ia dilakonkan oleh 10 orang anak yatim di bawah seliaan badan NGO iaitu Teach For The Needs (TFTN). Ia sebuah pengalaman yang tak mungkin saya lupakan. Dalam skop psikologi yang maha luas, ada istilah ‘Psikologi Sosial’ yang mana ia merupakan pengetahuan tentang sikap/tingkahlaku hubungan antara manusia dan kelompok, serta pengaruh sosial terhadap perilaku manusia. Secara ringkas, psikologi sosial membantu melihat perkembangan individu dari ruang lingkup sosialnya.

Anak-anak ini latarbelakang mereka berbeza. Ada yang ibu bapa meninggal sejak mereka kecil, ada yang cuma ada ayah atau ibu, ada juga yang dihantar ke rumah anak yatim kerana ibu bapa tak mampu (miskin), dan ada juga sebab-sebab lain. Setiap dari mereka punya sikap dan tingkahlaku berbeza. Mereka tak sama seperti anak-anak yang dihantar ibu bapa belajar teater, mereka sendiri yang menunjukkan kecenderungan, sehingga terpilih menyertai produksi ini. Justeru, walaupun dua minggu saja latihan tanpa pengalaman berpentas, mereka telah berjaya membuktikan bakat dan kemampuan mereka. Saya percaya setiap individu itu berpotensi untuk menjadi lebih baik, dan tugas komuniti atau masyarakat ialah untuk memberikan sokongan atau panduan.

Individu merupakan unit paling kecil dalam masyarakat. Masyarakat adalah kumpulan manusia yang hidup bersama dan saling membantu satu sama lain dalam hubungannya atau saling berinteraksi. Setiap individu mempunyai tingkahlaku berbeza mengikut persekitaran, pergaulan, didikan, pemikiran dan lain-lain. Dengan bantuan psikologi, ia membantu melihat kecenderungan, minat, personaliti, mental dan tingkahlaku untuk memudahkan individu dan masyarakat itu mencapai kesepakatan.

Ah! Susah juga soalan Wan ni. Haha. Tapi lebih kurang begitulah. Psikologi bukan saja disiplin ilmu untuk membantu orang lain, tapi paling besar untuk kita mengenal diri kita sendiri.

*Kota Kelip-Kelip akan dipersembahkan sekali lagi di Penang Pac pada 24-25 Disember tahun ini.

Ridhwan

Baik, mungkin ini soalan terakhir: apa pendapat Faz tentang Malaysia?

Fazleena

Malaysia banyak sangat benda tak boleh, macam mana nak Malaysia boleh? Hihi.

Imbasan penuh: Binfilem

Naskah fizikal: RM7 HABIS