Kerja Tangan isu 6

IMG_6547.jpg

INTERVIU Hasrul Rizwan

oleh Ridhwan Saidi

Hasrul Rizwan atau Mat Gorn lahir dan menetap di Kedah. Antara penulis prolifik Malaysia masa kini, terutama di dalam bentuk novel dan cerpen. Semasa menandatangi naskah MURTAD saya, ada dilukisnya sekali sebuah lukisan kartun. Melalui tandatangan ini saya syak paling kurang novel ini pasti ada elemen lucu. Ini jelas di dalam cerpennya Dobi Doposen di dalam antologi SUPERFIKSYEN, di mana ia buat saya tersenyum selepas membacanya. Melalui cerpen ini saya sedari kedai dobi layan diri semakin menjadi kebiasaan dan ini ditanda secara tidak langsung melalui sastera. Jika orang tanya saya bila dobi layan diri mula berkembang di Malaysia, saya cuma perlu ingat bila Dobi Doposen diterbitkan. Berikut merupakan interviu kami via Facebook pada 19 dan 20 September 2016.

RIDHWAN

Salam, nak interviu boleh?

HASRUL

Waalaikumsalam. Boleh, apa salahnya.

RIDHWAN

Macam mana boleh menulis? Ada kisah masa kecil atau waktu sekolah yang menarik berkenaan ini?

HASRUL

Saya menulis mungkin kerana terbiasa menulis cerita-cerita pendek sewaktu remaja dahulu. Ketika zaman persekolahan saya banyak menulis cerpen dan anekdot (Untuk bacaan sendiri sebab dulu tak ada internet). Mungkin juga kerana saya seorang pengawas pusat sumber dari sekolah rendah hingga menengah dan banyak menghabiskan masa di perpusatakaan membaca buku-buku pada waktu terluang. Pada waktu sekarang, saya menulis kerana bebanan imaginasi, atau cerita, atau plot, atau ilham di dalam kepala saya yang sentiasa datang dan terperangkap. Ia seperti ribuan lebah yang menghurung di dalam balang (kepala) dan tak boleh pergi ke mana-mana. Berdesing dan membuatkan saya resah. Melainkan saya menulis dan meniap untuk dijadikan buku maka lebah-lebah yang menghurung ini akan hilang. Atau setidaknya menyalurkan ke internet melalui wattpad, blog dan juga media sosial lain. Bila ia sudah ditaip dan dibukukan segala masalah yang saya katakan ‘lebah’ ini akan menghurung orang lain pula iaitu pembaca. Saya rasa lega sehinggalah datangnya lebah-lebah baru yang lain pula. Ianya berterusan dan saya sendiri tak tau bila ianya akan berhenti.

RIDHWAN

Output anda banyak dalam bentuk cerpen dan novel, boleh kongsi proses anda menghilangkan lebah-lebah ini? Murtad, Bercakap dengan Jun, Budak Hostel Otaknya Sewel antaranya?

HASRUL

Kalau nak cerita tentang proses pembikinan novel memang panjang. Tapi secara umumnya saya merangka dahulu setiap cerita dengan menulis sinopsis dan premis sesuatu novel agar dapat gambaran penuh dan menyeluruh. Dari sinopsis ini saya wujudkan watak dan seterusnya membahagikan sinopsis ini dalam bentuk pecahan bab. Saya selalu mengambil langkah selamat dengan menghadkan novel saya pada 30 bab sahaja. Dan selalunya satu bab sepanjang 2000 patah perkataan. Setiap hari saya menulis (Pada waktu malam sahaja) dan jika saya kekal menulis bermakna satu buku akan siap dalam masa sebulan. Tapi itu hanyalah first draft dan proses editing yang selalunya mengambil masa lama dan panjang sekali. Kadang-kadang sehingga dua bulan. Menulis tidak susah. Orang buta pun boleh menulis. Tetapi menulis agar orang buta terasa seperti seorang yang celik, itu yang sebenarnya-benarnya susah. Saya lebih suka menulis cerpen dari novel sebenarnya. Cerpen ringkas dan mudah, baik untuk penulis mahupun pembaca untuk terhibur. Cerpen umpama isteri pertama saya.

RIDHWAN

Cerpen perlu lebih kurang komitmen berbanding novel dalam konteks bacaan. Kita boleh habiskan cerpen sambil tunggu orang atau dalam perjalanan LRT misalnya. Dalam Superfiksyen anda ada tulis cerpen Dobi Doposen yang bagi saya lucu dan sweet. Setelah menulis beberapa karya, apa agaknya kata kunci yang anda boleh simpulkan dari body of work anda. Adakah dengan menulis sedikit sebanyak ia dapat buat anda kenal diri anda?

HASRUL

Saya merujuk balik kepada ayat terakhir saya sebelum ini, cerpen adalah isteri pertama saya. Bermakna di sini novel adalah isteri kedua saya. Dan bila kata isteri kedua, ianya adalah baru, lebih muda dan sayang lebih kerana orang nampak cantik. Tetapi tiada yang dapat menandingi betapa perihnya isteri pertama ini kerana cerpen boleh membentuk gaya penulisan seseorang penulis. Pembaca di Malaysia umumnya masih lagi tak berminat untuk baca cerita-cerita yang pendek, buku yang nipis dan cepat habis seperti cerpen. Tetapi saya selalu mendorong rakan-rakan yang baru berjinak untuk menulis agar menulis sehari satu cerpen dahulu. Paling tidak 300 patah perkataan, atau lebih pendek dari itu pun tidak mengapa. Tak kira apa tema, genre atau cara penyampaiannya asalkan ada. Penulisan saya terarah kepada dark comedy mungkin kerana saya lebih selesa untuk menulis sebegitu. Kena dengan jiwa la orang kata…Hehehe. Selain itu penulisan saya dibentuk dengan cara meniru. Seorang artis akan meniru dan tidak boleh lari dari meniru artis yang lain sebelum dia mendapat gayanya yang tersendiri. Ketika saya remaja dahulu, saya mengagumi cerpen-cerpen dari Putu Wijiya dan juga Noorjaya. Pada waktu itu saya meniru gaya yang digunakan mereka untuk menyampaikan cerita sebelum mengasah teknik menulis dengan menterjemah kembali karya-karya pendek dari Anton Chekhov dan Nikolai Gogol. Menterjemah adalah bagus untuk memperkuatkan kosa kata dan juga pembinaan ayat-ayat yang menarik. Saya tak pernah baca kembali apa yang saya tulis jika ianya sudah diterbitkan. Mungkin kerana malu jika ada orang baca apa yang ada dalam kepala saya, atau selalu beranggapan ianya telah pun berlaku dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Menulis dan menghasilkan karya yang bermutu sememangnya susah dan saya selalu membaik pulih gaya penulisan saya agar ianya lebih santai dan mudah diterima. Saya rasa saya akan mati ketika saya sedang berkarya. Menulis adalah agen pembunuh yang paling licik sekali.

RIDHWAN

Boleh kongsi apa anda sedang usahakan sekarang? Kalau sehari satu cerpen paling kurang kena ada displin. Anda ada displin atau ritual tertentu untuk menulis, misalnya dalam sehari ada sudah aturan atau ikut mood? Taip terus pakai komputer atau tulis tangan?

HASRUL

Buat masa sekarang agak padat sedikit. Bukan kata sikit, banyak jugak kerana ada beberapa manuskrip yang perlu disiapkan untuk penghujung tahun ini dan juga sepanjang 2017 nanti. Yang terbaru dan sudah dihantar ke penerbit adalah kesinambungan novel Bercakap Dengan Jun. Untuk sekuel kali ini ianya akan diterbitkan oleh Buku FIXI bersama-sama buku sebelumnya yang telah ditambah baik dari versi yang dahulu. Dan yang sedang ditulis sekarang adalah novel yang bertajuk CARPOOL (Bukan tajuk sebenar), dan juga novella yang berjudul GADIS YANG TAK MAHU MATI SETELAH KEMATIANNYA (Bukan tajuk sebenar). Saya tidak memberikan tajuk kepada setiap karya sehinggalah disiapkan. Jadi tajuk-tajuk ini hanya untuk rujukan di dalam komputer sahaja. Kedua-dua ini saya sedang tulis secara bergilir-gilir dan insyaAllah boleh disiapkan sebelum hujung tahun ini. CARPOOL adalah novel bergenre dark comedy manakala GADIS YANG TAK MAHU MATI SETELAH KEMATIANNYA menceritakan dalam keanehan dunia distopia di france. Walau berbeza genre, kedua-duanya ditulis dengan gaya penulisan yang baru. Berbeza dengan gaya saya menulis di dalam novel-novel sebelumnya dan saya betul-betul mengharapkan ianya akan mendapat sambutan yang baik oleh para pembaca. Selain itu ada juga beberapa manuskrip yang lain berjudul JANDA dan sebuah lagi berjudul JANTAN selain BUDAK HOSTEL OTAKNYA SEWEL 2 yang akan ditulis bermula tahun hadapan. Oh ya…. Sebuah buku cerpen untuk penerbitan Selut Press. Yang itu tak tau bila dan sedang mencuri-curi masa untuk menulis. Tentang disiplin saya selalu menganggap menulis ini tak lain adalah satu pekerjaan. Membayangkan saya perlu punctual dalam setiap kerja. Perlu punch card, mempunyai bos yang garang gila, rakan sekerja yang kejam dan penindas dan saya perlu menulis untuk mendapat best employee of the year saban tahun. Buat kerja apa pun perlu berdisiplin. Kena ada aturan dan sentiasa fokus. Jika penulis boleh membayangkan segala macam benda yang pelik, kenapa tak bayangkan ada seorang bos yang berkepala singa sendang memerhatikan kita yang sedang menaip. Di rumah saya menaip menggunakan komputer yang tiada akses internet untuk menulis. Saya hanya menulis menggunakan komputer (Desktop) yang tak uubah seperti mesin taip. Hanya ada microsoft Word semata-mata tanpa ada aplikasi lain dan juga talian internet. Saya hanya duduk di bangku bersama secawan kopi hangat, renung komputer beberapa detik dan terus menulis.

RIDHWAN

Kalau ofis ada 9 to 5, waktu menulis ada jam-jam tertentu? Shift siang atau malam misalnya?

HASRUL

Selalunya saya akan menulis pada waktu malam sahaja. Ketika anak-anak dah tidur kerana lebih sunyi. Jam 11 malam hingga 3 pagi. 4 jam sudah cukup untuk menyiapkan 1 bab bagi sesebuah novel. Saya ada satu penyakit. Tak tau la ini dinamakan penyakit atau apa, sebab saya tak akan berhenti menulis selagi tak menyiapkan satu bab…Hahaha. Sebab saya akan mulakan bab yang baru pada keesokan hari dan tidak menyambung kerja semalam kerana merasa buang masa. Buang masa kerana kerja yang sepatutunya boleh dibuat dalam sehari tapi saya buat jadi 2 hari. Cepat rasa terhukum dan serba salah. Pengurusan masa, disiplin dan perancangan kerja adalah penting. Sebenarnya saya sudah menyiapkan input-input untuk menulis dalam sesebuah bab mengikut poin-poin yang perlu ditulis. Input ini ditaip dalam sehelai kertas yang dilekatkan pada board clip dan diletakkan di tepi monitor PC. Sepanjang saya menaip, saya akan melihat kepada board clip tersebut agar kekal dalam landasan yang betul. Misalnya saya mempunyai 30 bab. Maka saya ada 30 helai kertas yang berisi input-input yang perlu ditulis di dalam sesebuah bab tersebut. Ia hanya dalam bentuk poin sahaja. Seperti poin-poin penting yang selalu kita buat di waktu sekolah ketika hendak mengambil periksa dahulu. Lebih kurang macam tu. Tapi cukup hanya ditaip dalam sehelai kertas bersaiz A4 untuk 1 bab dan tidak perlu meleret-leret dengan menggunakan bahasa berbunga-bunga. Saya lakukan ini supaya kerja saya mempunyai hala tuju. Sebab kerja menulis adalah kerja yang ralit. Bila ralit kita akan menaip dengan terlalu bebas, jari cepat menaip kerana dalam kepala berlegar-legar banyak input yang baru. Dan selalunya akan syok sendiri dan mungkin akan melalut jika tidak ada panduan dalam susunan galur penceritaan. Memang akan ada poin-poin baru yang tiba-tiba terfikir dan rasa elok untuk dimasukkan ke dalam karya. Itu tidak mengapa dan masukkan sahaja tapi harus kembali kepada plot asalan agar tidak terlalu menyimpang dan membuatkan kerja menjadi lambat kerana terlalu banyak perubahan yang dibuat. Sebab itu pada peringkat brainstorming, ianya memakan masa yang lama. Boleh jadi berminggu dan berbulan sebelum boleh mula menulis. Setiap penulis ada caranya yang tersendiri dan ini adalah cara yang saya gunakan sejak dahulu. Saya akui ianya memang satu kerja yang cerewet.

RIDHWAN

Baik, apa pendapat anda tentang Malaysia? Kalau sebut Malaysia apa benda first yang terlintas?

HASRUL

Nasi kandaq

Imbasan penuh: Binfilem

Naskah fizikal: RM7 HABIS