INTERVIU Bebbra Mailin
oleh Ridhwan Saidi
Bebbra Mailin merupakan pembikin filem Malaysia masa kini kegemaran saya. Saya pertama kali nampak kelibat Bebbra di pejabat fakulti skrin yang waktu itu masih belum menghasilkan filpen pertamanya Eye Love. Selain telah menghasilkan beberapa filpen, Bebbra juga pada ketika ini menjadi kurator tayangan filem di UiTM Puncak Perdana. Antara filem yang saya masih ingat dan pertama kali tonton skrin besar di sini (di bawah kuratorial Bebbra, kerana sebelum itu Dr. Norman bergerak selaku kurator dengan lima tayangan seminggu) antaranya filem Kes (1969), Rosetta (1999) dan Eliana, Eliana (2002).
RIDHWAN
Nak interviu sikit untuk litzin Kerja Tangan ok?
BEBBRA
Nak interview saya ka? *emoji gugup*
RIDHWAN
Ya.
BEBBRA
Okay, boleh 🙂
RIDHWAN
Macam mana boleh mula buat filem?
BEBBRA
Bagaimana mula buat filem? Oh, saya mula bikin filem secara tidak sengaja dan suka-suka. Mungkin saya mulakan dulu bagaimana saya mula mengenal filem. Saya belajar filem secara kebetulan. Kerana ditawarkan program Diploma Teknologi Skrin selepas tamat Sekolah Menengah. Dari situ, saya telah belajar dan bikin/ikut beberapa projek filem yang dibuat oleh kawan-kawan dan juga untuk assignment. Dan, sewaktu kuliah, saya mula bikin beberapa projek filem untuk tugasan kuliah saja.
Kemudian, pada tahun 2011, secara suka-suka saya menyertai pertandingan filem pendek anjuran Kota Kinabalu International Film Festival (KKIFF). Saya hantar satu filem pendek eksperimental bertajuk Eye Love dan kebetulan, menang. Dan selepas itu saya terus membuat beberapa buah filem yang lain.
RIDHWAN
Apa yang buat Bebbra minat pada filem atau sinema seluruhnya?
BEBBRA
Saya tertarik kepada filem-filemnya yang punya nilai kemanusian dan realisme. Di awal perkenalan saya dengan sinema, filem-filem seperti Perempuan, Isteri dan… (arahan U Wei Hj Shaari), Maroon in Iraq (arahan Bahman Ghobadi), Salaam Bombay (arahan Mira Nair) jadikan saya resah dan susah tidur—selepas menonton filem sebegini. Bagi saya, filem-filem seperti ini punya kuasa universal kerana luas elemen humanisnya. Saya fikir, yang menjadikan filem/sinema itu menarik adalah isi filem itu. Jika saya ingin menyebut senarai pengarah filem yang banyak mempengaruhi saya kebanyakan adalah dari pengarah Iran seperti Dariush Mehrjui, Majid Majidi, Abbas Kiarostami—juga dari pengarah lain seperti Yasujiro Ozu, Satyajit Ray, Rithy Panh, Brilliante Mendoza, Jean Pierre and Luc Dardenne, Zhang Yimou dan ramai lagi. Pengarah-pengarah filem ini seperti penyampai utusan yang penuh isi tentang kehidupan manusia. Ini menarik sekali bagi saya!
RIDHWAN
Bebbra sendiri ada pernah bikin beberapa filpen seperti Eye Love, Langat di Odu, Fragile antaranya. Boleh kongsi proses atau ada apa-apa cerita di sebalik pembikinan?
BEBBRA
Filpen Eye Love dibuat pada tahun 2011 ketika saya sedang bercuti bersama adik dan beberapa rakan saya. Sebelum bertolak ke lokasi percutian—di Kundasang (sebuah lokasi percutian popular di Sabah—dekat kaki Gunung Kinabalu) saya bilang kepada adik saya: “saya mahu ikut pertandingan filem, kamu jadi pelakon saya boleh? Tidak susah, kamu tidak perlu jadi apa-apa. Cuma jadi diri sendiri saja.” Adik saya setuju, dan dengan hanya sebuah camcorder, shooting bermula. Prosesnya sangat spontan dan organik! Tanpa skrip, saya hanya mengambil semangat quotation dari John Lennon tentang simbolik cinta manusia dan alam semulajadi, saya cuba menangkap momen menerusi watak dua orang kekasih dengan keindahan latar/setting semulajadi di Kundasang. Selepas selesai shooting, masalah utama saya untuk filpen ini adalah sound. Semua sound tidak boleh guna—mungkin juga kerana saya tidak ada peralatan merakam sound yang sesuai. Keadaan ini membuatkan saya mengubah/menyusun semula naratif/cerita semasa proses penyuntingan. Dalam proses suntingan ini juga, saya dibantu oleh rakan saya, Abel Felix, yang juga mengubah skor asal muzik dalam filpen ini.
Filpen Langad di Odu asalnya ditulis dalam bentuk cerpen untuk dihantar ke syarikat akhbar tempatan Sabah. Idea asal cerita ini diangkat daripada sebahagian pengalaman saya sendiri. Kemudian, pada satu ketika, saya menghadiri satu forum di Rumah Pena yang mana pada sesi perbincangan, berlingkar topik tentang masalah bahasa dalam sinema tempatan. Saya turut mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut dan menyatakan: “Saudara sekalian berbincang mengenai bahasa Melayu, Cina dan India; tetapi bagaimana pula dengan bahasa-bahasa dari negeri Sabah dan Sarawak? Jadi, idea membikin filpen Langad di Odu juga adalah kegelisahan saya untuk menghadirkan sebuah filem dalam bahasa Kadazan dalam sinema tempatan. Proses pembikinan agak mudah kerana saya menggunakan lokasi seperti: tamu (Penampang/Ranau/Papar/Tamparuli) penggambaran di sekitar kawasan/kampung saya sendiri dan juga kerana konteks cerita ini yang terlalu dekat dengan saya, jadi saya menggunakan ruang-ruang/latar sosiobudaya yang saya kenal. Selain itu, gerak kerja produksi juga agak kecil dengan cuma 2 orang sahabat yang membantu bersama ayah saya sendiri yang turut serta. Kekurangan daripada segi teknikal juga tidak ada masalah kerana bagi saya yang penting adalah bagaimana cerita ini harus disampaikan. Selepas filem ini siap, saya membuat tayangan premiere secara terbuka di Muzium Sabah dan memanggil semua pelakon dan sahabat untuk menonton dan berkongsi pendapat tentang filpen ini. Proses ini sangat penting bagi saya.
Filpen Fragile pula di bikin sewaktu saya menyertai Sabah Filem Academy anjuran Kota Kinabalu International Film Festival 2015 yang turut menjemput beberapa penggiat filem dari Kuala Lumpur, America dan German sebagai tenaga pengajar/mentor kami sepanjang akademi tersebut.
Dalam filpen ini saya mengangkat isu imigran dari Indonesia menerusi perspektif seorang anak perempuan kecil. Idea ini juga terhasil dari kegelisahan saya sebagai warga tempatan yang sering melihat anak-anak Indonesia ini tidak bersekolah dan bekerja dalam usia yang sangat muda. Dan dalam proses saya membuat kajian, saya bertemu dengan seorang anak perempuan kecil (Nirwana) yang telah lahir di Sabah dan bersekolah di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu tetapi bekerja dengan menyanyi di pesta/majlis untuk membantu ibunya. Saya tertarik dengan kisah Nirwana dan keluarganya. Oleh kerana projek ini dibuat secara formal, saya mempunyai beberapa rakan produksi lain yang turut sama membantu dan tahu akan tugas masing-masing. Ini banyak memudahkan proses persiapan filem dokumentari ini. Tentu saja, setiap produksi ada cabaran tersendiri termasuk projek ini juga tetapi akhirnya penggambaran selesai dalam masa 4 hari dan penyuntingan selama 3 hari. Selepas filem dokumentari ini siap, filem ini ditayangkan pada upacara penutup festival KKIFF tersebut. Dan, pada Mac 2016, filem dokumentari ini terpilih antara 5 untuk satu program Visual Documentary Project anjuran Southeast Asian Studies Kyoto University, Jepun.
RIDHWAN
Boleh deskripsikan bagaimana kegelisahan yang Bebbra alami sebelum sesebuah filpen dibikin?
BEBBRA
Kegelisahan itu buat saya asyik berfikir-fikir dan seperti saya rasa perlu berbuat sesuatu/filpen itu dengan segera.
RIDHWAN
Okay, jadi apa pandangan Bebbra tentang Malaysia?
BEBBRA
Bagi saya, Malaysia itu unik. Unik dari segi keragaman budaya, identiti, politik, sosial dan juga masalah-masalah di dalamnya! Malaysia mungkin sudah bebas dan merdeka tapi sebenarnya masih ada antara kita yang berperang dengan bangsa-bangsa kita sendiri. Kita bertengkar hanya kerana perbezaan bahasa tetapi pada masa yang sama perlu melaungkan slogan 1Malaysia. Soalan ini sederhana tapi susah untuk dijawab. Tetapi, saya optimis untuk melihat Malaysia bergotong-royong menciptakan kesejahteraan bersama.
Imbasan penuh: Binfilem
Naskah fizikal: RM7 HABIS