Kerja Tangan isu 3

IMG_6544.jpg

INTERVIU Mohd Azmen

oleh Ridhwan Saidi

Di dalam antologi Bila Larut Malam, saya akhiri buku tersebut dengan cerpen Mabok Kepayang oleh Mohd Azmen kerana ia antara cerpen terbaik yang saya terima dan mahu sensasi pembaca selepas menutup buku tersebut cukup nikmat.

Kata-kata Azmen lancar, kadang-kala saya tidak pasti apa yang sedang berlaku tetapi kita terus membaca kerana bahasanya yang mengikat. Ia ada nuansa yang sukar ditemui di dalam penulisan Malaysia yang terdahulu.

Setelah beberapa kali bertemu saya dapati Azmen seorang yang peka, teratur dan pace kepekaannya agak slow di mana untuk saya, barangkali sudah hilang fokus dan kesabaran. Saya boleh bayangkan kata-kata datang ke dalam kepala Azmen dalam kadar perlahan dan terletak elok. Kerana itu juga barangkali penulisan Azmen jarang saya lakukan suntingan keras lagi rakus kecuali untuk pemilihan judul.

Berikut merupakan transkripsi interviu via whatsapp yang selesai pada 17 Ogos 2016:

RIDHWAN

Macam mana boleh mula menulis? ada memori awal tentang penulisan, seperti waktu kecil atau sekolah?

AZMEN

Rasanya ia dimulakan oleh tabiat membaca. Saya punya tabiat membaca yang diwarisi dari ibubapa saya, walaupun mereka bukanlah kerap membeli buku. Bahan bacaan yang biasa mereka beli sama ada majalah atau suratkhabar. Membaca menjadi tabiat walaupun tiada bahan bacaan rutin – saya akan baca helaian kertas suratkhabar pembungkus nasi lemak contohnya. Saya masih ingat waktu kecil, setiap hari ibubapa saya akan membeli Berita Harian (dan Berita Minggu), dan di situ adalah pengenalan awal saya terhadap cerpen dan puisi. Terutamanya cerpen kerana saya tak begitu tertarik dengan puisi. Saya mula menjadikan menulis sebagai hobi waktu di universiti. Ia adalah waktu di mana semua orang sedang sibuk menulis blog dan saya bersama rakan mula membuat blog sendiri, selain terpengaruh dengan blog Semusim Di Neraka pada ketika itu.

Ketika sekolah saya tak begitu meminati penulisan tapi subjek BM adalah subjek kegemaran dan saya akui saya gemar membuat karangan, terutamanya fiksyen. Saya ingat pernah sekali saya menulis karangan cerita tentang bertemu bidadari berbangsa Cina di dalam hutan. Haha

Selepas semua orang malas tulis blog, saya beralih kepada hobi baru iaitu membeli buku. Kebetulan waktu itu saya sudah bekerja dan tiada masalah untuk memperuntukkan sedikit wang untuk beli buku.

Titik tolak saya mula menulis fiksyen adalah waktu saya membeli banyak buku-buku yang ditulis dengan teruk dan saya fikir saya boleh buat sesuatu dengannya.

RIDHWAN

Anda menulis dalam bahasa Melayu dan banyak tulis fiksyen, jadi apa yang buat anda tertarik pada 1. bahasa Melayu dan 2. fiksyen?

AZMEN

Saya mula tertarik menulis dalam bahasa Melayu selepas melihat potensi bahasa Melayu itu sendiri seperti yang saya lihat dalam Semusim Di Neraka. Dan juga beberapa blog lain ketika itu yang mula beralih ke bahasa Melayu (Trankuiliti Tronoh, Aku Tak Peduli sebagai contoh). Saya mulanya tak pernah fikir yang bahasa Melayu boleh ditulis dengan bergaya seperti dalam blog-blog ini. Ia membuatkan saya seperti terkejut. Mungkin sebab untuk beberapa dekad kebelakangan ini jarang kita jumpa tulisan yang benar-benar menarik dan dekat.

Banyak sebab sebenarnya saya menulis fiksyen. Menulis fiksyen untuk melupakan. Menulis fiksyen sebagai alternate realiti. Menulis fiksyen untuk memperbaiki realiti. Menulis fiksyen untuk jadi Bukowski. Menulis untuk jadi immortal. Senarainya mungkin panjang tapi tiada sebab yang khusus untuk saya menulis fiksyen. Saya menulis untuk menulis.

RIDHWAN

Boleh cerita sikit proses pembikinan Wiski Pop dan Polaroid?

AZMEN

Proses menulis Wiski Pop bermula sekitar 2011, bermula dari mengumpul idea dan menulis draf kasar. Oleh sebab tak banyak masa untuk menulis jadi Wiski Pop hanya dapat disiapkan pada 2014, waktu saya menjadi surirumah (haha) sepenuh masa. Anggaran ada dalam 30++ cerpen tapi ada yang rasa tak sesuai dengan mood & tema, dan ada juga ditarik keluar untuk projek lain seperti antologi Tandoori Nan Sekeping dan Dajjal, dan juga untuk Polaroid. Saya habiskan separuh tahun pertama 2014 untuk menyiapkan Wiski Pop dan separuh tahun kemudian untuk Polaroid. Tajuk awal pada peringkat manuskrip ialah Selamat Malam, Solitude tapi ditukar kepada Wiski Pop oleh Sufian Abas kerana ada keperluan untuk tajuk yang lebih pop. Wiski Pop cita-cita saya ialah supaya ia jadi semacam Cerpen 101 untuk penulis baru. Kalau mereka tak rasa Wiski Pop sebagai naskah yang boleh dijadikan contoh, sekurang-kurangnya membuatkan mereka menulis lebih baik dari Wiski Pop.

Waktu di antara menulis Wiski Pop, saya dapat pelawaan untuk menulis novela dari Moka Mocha Ink. Saya tak bercadang untuk tulis novela waktu itu, tapi kebetulan saya menjumpai 2 cerpen yang mempunyai perasaan yang sama di dalam draf-draf idea Wiski Pop, jadi saya cuba untuk letakkannya di dalam sebuah novela. Sebab itu Polaroid terbahagi kepada tiga bahagian. 2 cerpen itu adalah bahagian (i) dan (iii) sementara bahagian (ii) saya tulis untuk mengisi ruang di antara (i) dan (iii). Ia agak menarik kerana Polaroid diterbitkan sekali dengan Rebel, di mana ia secara konsep ia kontra antara satu sama lain. Asas novela Polaroid ialah cerpen panjang, sementara Rebel pula adalah novel pendek. (Sementara 86 pula bukan kedua-duanya. Saya selalu fikir ia macam kebetulan yang menarik di mana Moka Mocha Ink sedang mendefinisikan novela melalui tiga novela ini.)

Polaroid tak pernah bercadang untuk jadi sebuah novel yang panjang atau bersambung. Tapi Wiski Pop ada sambungannya (walau bukan tajuk yang sama).

RIDHWAN

Anda ada ritual harian atau ritual tertentu semasa menulis Wiski Pop dan Polaroid dulu?

AZMEN

Tak ada apa-apa ritual atau rutin. Kalau ada pun, kena tidurkan anak dulu sebelum menulis sebab isteri sedang bekerja. Haha

RIDHWAN

Baik, apa pendapat anda tentang Malaysia?

AZMEN

(emotikon ketawa sambil pejam dengan peluh di dahi.)

RIDHWAN

Tadi ada kata tentang ‘cerpen 101’ via Wiski Pop. Mungkin boleh kongsi ciri-ciri penulisan cerpen yang anda suka, bahasa yang bagaimana misalnya?

Dan tentang Malaysia itu, kita boleh kecilkan skopnya ke dalam bentuk prosa. Apa ruang yang ada bagi penulis generasi akan datang misalnya bila berdepan dengan bahasa Melayu?

AZMEN

Saya tak tetapkan sangat tentang ciri penulisan cerpen yang digemari, ada je cerpen yang saya suka dengan gaya bahasa yang tidak saya gemari. Ada cerpen yang bahasa mendatar tapi punya idea yang baik. Tapi pada saya, apa yang membuatkan cerpen itu baik adalah bagaimana ia meninggalkan sesuatu selepas pembacaan. Dia macam satu aftertaste yang linger dalam kepala selepas membacanya. Antara contoh cerpen yang beri kesan seperti ini kepada saya ialah cerita nombor 27 dalam buku Orang Hodoh Cantik.

Saya fikir, selagi penulis waktu ini terus menghasilkan karya yang bagus (tak kira apa bahasa), akan terus ada ruang bagi penulis generasi akan datang. Kena (sentiasa) ada seseorang yang menarik picu.

Imbasan penuh: Binfilem

Naskah fizikal: RM7 HABIS