INTERVIU Saat Omar
oleh Ridhwan Saidi
Kelibat Saat Omar pertama kali saya nampak semasa mengaji di UiTM Puncak Perdana di waktu tengahari semasa kami sedang tunggu pensyarah. Saat Omar tiba dengan motosikal cup lalu masuk ke pejabatnya. Waktu itu kebanyakan kelas teater berada di hujung sana, manakala kami di kelas penulisan dan filem berada di kawasan tengah. Kami akan mula kenal dan bercakap barangkali dalam dua tiga tahun selepas itu.
Saya memiliki satu catan akrilik kecil pemberian Saat Omar di Arts For Grabs, Annexe Central Market dan selepas itu turut beli lagi dua kerja catannya. Yang satu ini paling besar dan berwarna kebiruan—diberi nama oleh Saat sendiri waktu itu yang kebetulan novel saya Babyrina terbit—diberi judul Baby Rina Blue. Satu lagi catan besar saya beli selepas mendapati rupanya kami tinggal berjiran di Saujana Utama, terlalu dekat kalau jalan kaki dalam 5 minit sampai. Saya telah melawat studionya dan beli sebuah catan yang mengingatkan saya kepada lukisan gua.
Selain menulis dan mengarah teater, melukis dan mengecat, Saat turut prolifik menulis antaranya lima buah novel dan turut menghasilkan terbitan d.i.y. kumpulan cerpen dan puisi. Berikut merupakan transkripsi interviu kami via emel pada 16 Ogos 2016:
RIDHWAN
Macam mana boleh mula menulis? ada memori paling kuat, waktu kecil atau sekolah misalnya tentang penulisan?
SAAT
Mula minat menulis bila bapa bagi hadiah diari. 1989 rasanya. Diari tu saya tulis hari hari, kebanyakannya tentang seorang gadis bernama N. Sebelum tu tak pernah menulis. Cikgu BM kenal nama pun sebab saya segelintir pelajar Melayu di sekolah tu.
Masa form 2 rasanya surat saya ke majalah Media Hiburan keluar. Surat pendek bertajuk ‘Kera di hutan disusukan’ yang dah diubah oleh editor, tentang artis Indonesia yang lebih diutamakan dari artis tempatan. Ketika di sekolah rendah saya lebih menyimpan cita-cita sebagai pelukis komik.
RIDHWAN
‘Segelintir pelajar Melayu di sekolah’, bermakna waktu tu ramai pelajar bukan Melayu? Apa yang buat anda tertarik dengan komik? Ada komik spesifik waktu tu?
SAAT
Saya bersekolah di S.R.K. Horley Methodist Teluk Intan. Tak ramai sangat Melayu semasa batch saya.
Ada dua bahan bacaan utama masa kecil; Gila-Gila dan Variasari. Dari Variasari saya membaca Bercakap Dengan Jin, yang juga mungkin buku terawal yg saya baca.
Dari Gila-Gila, pelukis yg paling saya suka ialah Don. Di pertengahan 80an saya paling suka membaca cerpen-cerpennya yang lucu dan di luar jangkaan. Di tahun 80an saya rasa sumber paling kreatif negara lahir dari komik dan bukannya filem.
Masa darjah 4 pernah pergi rombongan sekolah ke Creative Enterprise. Pernah juga minta ayah belikan pen untuk melukis kartun. Dan bila dah dibeli saya tak tahu pula nak melukis apa.
RIDHWAN
Adakah pen itu digunakan untuk menulis? Bagaimana boleh mula tulis novel Rahsia Malam Merdeka? Dan boleh juga kongsi proses Amanah Terakhir, Seronok, Santet & Rebel.
SAAT
Pen tu tak digunakan untuk menulis.
Rahsia Malam Merdeka ditulis untuk pertandingan. Manuskrip novel kedua yang saya tulis. Dan semuanya mengikut formula yang saya rasa mampu untuk menang dalam pertandingan penulisan novel tempatan—ia perlu berdasarkan fakta dan real event, serta perlu ada elemen-elemen akademik. Jadi saya study kisah Tunku Abdul Rahman dan selitkan dalam penceritaan. Rahsia Malam Merdeka ditulis menggunakan PC pejabat dan disimpan di dalam disket.
Amanah Terakhir sebenarnya manuskrip novel pertama yang saya tulis, juga untuk pertandingan DBP 50 tahun. Tapi tak menang. Jadi saya hantar manuskrip ini untuk bengkel perolehan manuskrip anjuran DBP. Situ saya mula kenal Fadli al-Akiti dan beberapa orang penulis lain. Ia mungkin novel paling personal saya pernah tulis—satu penghargaan kepada kampung nenek di Permatang Pelanduk, Kg Gajah.
Seronok adalah cubaan kedua saya untuk terbit di bawah FIXI, walau pada asalnya ia tidak dicadangkan untuk mana-mana penerbit. Idea asalnya untuk Seronok ialah persoalan antara suami isteri—‘Adakah seseorang itu akan meneruskan ikatan perkhawinan jika akhirnya pasangannya merasakan yang mereka bukanlah pasangan yang sesuai setelah melangsungkan perkahwinan.’ Seronok bukanlah sebuah novel LGBT, walaupun itu asas jalan ceritanya. Saya mengambil idea yang lebih besar iaitu hubungan cinta antara pelbagai genre.
Santet ditulis sebagai tribute untuk genre kegemaran, Indonesia horror hujung 70an dan awal 80an seperti Penangkal Ilmu Teluh dan Dukun Lintah. Kedua-dua buku untuk FIXI ini boleh diletak di bawah label: komedi atau black comedy.
Rebel ditulis berdasarkan keinginan yang tak tercapai; antaranya berkelana di negeri Amerika, terutamanya New York, juga rindu pada relationship yang saya tak pernah dapat. Tajuknya sudah tentulah, satu penghargaan kepada Albert Camus, penulis yang merangsang saya untuk jadi penulis.
RIDHWAN
Selain menulis anda juga giat dengan lukisan catan dan pementasan teater. Apa pula yang buat catan dan teater ini menarik, jika mahu dibandingkan dengan penulisan?
SAAT
Melukis dan menulis ada konsep yang menarik dan sesuai dengan saya kerana ia bersifat individual. Teater lebih sukar kerana kita perlu bekerja dengan orang, terutama mengarah. Dalam teater pun saya sebenarnya lebih suka menulis daripada mengarah kerana saya memang ada masalah untuk bekerja dengan orang. Kalau seseorang itu suka bergaul, dia akan suka dengan teater, kalau tak, sukar.
Teater mungkin lebih dekat dengan penulisan puisi, kerana akhirnya orang lain yang akan interpret penulisan anda dengan bacaan puisi dan juga lakonan atas pentas. Tetapi selalunya ia tak seperti yang penulis harapkan, terutama pementasan teater.
Dari segi pendidikan saya belajar fine art sebenarnya. Dalam bidang penulisan saya tiada pendidikan yang formal. Dalam penulisan saya masih percaya pada struktur, tapi pada catan, semua tu saya boleh langgar. Avant garde sudah lama diterima seniman dan penggemar seni, tetapi penulisan tidak. Dan kalau nak kaya dan banyak duit, melukis bukan menulis, walaupun lukisan saya tak pernah terjual ribuan ringgit.
Mana yang lebih seronok dan memberi kepuasan? Kata Pak Agi melukis sebenarnya lebih memberi kepuasan kepada dia. Bagi saya, saya lebih suka menulis. Bak kata seseorang, pelukis boleh menggantung lukisannya, tetapi penulis hanya boleh menggantung dirinya sendiri.
Tapi sebenarnya sejak kecil saya bercita-cita untuk menjadi pengarah filem. Saya bagitahu semua kawan-kawan yang saya nak jadi director bila saya besar nanti.
RIDHWAN
Baik, kembali kepada konteks negara kita, apa pendapat anda tentang Malaysia?
SAAT
Saya ada seorang kawan, seorang professor bernama Ches Skinner. Dia kata dia suka Malaysia. Saya rasa pelik juga tu. Bila ditanya lagi apa yang dia suka tentang Malaysia, dia cakap dia suka orang-orangnya. Bila saya ingat tentang Malaysia, saya teringat tentang orang-orang yang tinggal di sana. Orang-orangnya yang membuatkan Malaysia sebuah negara yang kita suka. Buang orang-orangnya, kita takde apa sangat. Ya betul, orang Malaysia baik-baik orangnya. Saya ada banyak cerita tentang betapa prihatinnya orang Malaysia, terutama penunggang motosikal cup yang sedia menolong bila kita dalam kesusahan. Tapi banyak juga unsur-unsur negatif di negara ini—memotong pokok dan dahan di tepi jalan dengan sesuka hati misalannya. Itu yang paling saya tak suka dengan pihak-pihak berkuasa di negara ini.
Saya suka Amcorp Mall. Dan saya bernasib baik kerana Amcorp Mall terletak di Malaysia. Jadi saya tak perlu nak ke Indonesia atau Thailand untuk ke Amcorp Mall setiap hujung minggu.
Malaysia boleh pergi jauh. Kita banyak duit. Tapi kita habiskan duit dengan benda-benda tak perlu. Suatu hari nanti kita akan kembali hidup dalam gua. Kita kena bersedia dengan itu semua.
Seniman Malaysia tak perlu risau tentang originaliti. Yang penting kita boleh terus hidup dan sedut apa yang ada.
Malaysia sebuah negara yang panas. Saya harap suatu hari nanti salji boleh turun. Bila itu berlaku, saya akan lebih suka dengan negara ini.
Imbasan penuh: Binfilem
Naskah fizikal: RM7 HABIS