INTERVIU Ezzmer Daruh
Oleh Ridhwan Saidi
Ezzmer Daruh merupakan pelopor/penggerak KITARTB yang berpangkalan di Kota Bharu. Beliau pernah menulis cerpen View Dari Balkoni dalam antologi Bila Larut Malam (2013) dan selepas itu kami ada bertemu bagi membincangkan perihal novela dan penulisan secara umumnya. Kami bertemu di Idearaya dan mencari spot terbaik iaitu di bahagian rumput dan ada batu-batuan untuk kami duduk. Ia pasca senja dan langit gelap diterangi mentol-mentol tergantung. Meski jerebu kuat, udara terasa berat seperti mahu hujan.
RIDHWAN
Baik, kita boleh mula dengan sedikit latar, waktu kecil atau sekolah ada apa-apa cerita yang masih ingat tentang buku, seni atau sastera?
EZZMER
Waktu kanak-kanak, saya selalu berangan nama saya ada dalam buku cerita. Membuat habit menulis nama saya di bahagian hadapan buku. Saya masih ingat buku cerita yang paling banyak saya ulang baca; Awang Buta Celik karya Abdullah Ishak. Masa darjah 2 kot beli buku tu. Di Pesta Buku Kelantan di Gelanggang Seni 1996. Sampai sekarang saya terkilan kerana buku itu hilang atau telah rosak dimakan anai-anai. Pada umur 10 tahun, saya berjaya mencuri baca buku kakak saya berjudul Sayang Si Tina karya Ali Majod. Lepas itu, saya suka sebut ESSO-Gapena tanpa mengetahui apa maksudnya.
Saya bukanlah pandai melukis, tetapi semasa darjah 1-3, kerja rumah yang saya akan siapkan dahulu adalah subjek Pendidikan Seni. Masa darjah 6 pula, pernah saya dapat markah 0 kerana karangan saya terpesong dari tajuk asal. Mak ajar saya untuk menyelitkan peribahasa dalam karangan. Contoh yang paling ingat, “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Dan akhirnya, UPSR saya dapat A.
Di rumah, ada beberapa situasi seni yang saya ingat. Abang wakil sekolah dalam pidato dan Kak Long penyajak. Setiap kali ada pertandingan atau persembahan, ayah akan minta abang berpidato dan kak long bersajak depan ahli keluarga. Sehingga mereka berdua menangis keseronokan kerana ditegur ayah.
Masa sekolah menengah, barulah saya dapat jenguk buku-buku dalam almari ayah, yang paling menarik Bunga Rampai Melayu Kuno.
RIDHWAN
Baik, bagaimana dengan sekarang? Boleh kongsikan tentang KITARTB dan mengapa ia diasaskan di Kota Bharu?
EZZMER
Boleh dikatakan saya hargai minat saya semasa kecil. Saya masih menulis dan membaca, juga meminati lukisan.
KITARTB adalah gambaran yang pernah singgah semasa saya mula tinggalkan Kota Bharu 2006 dahulu. Tetapi ia kurang jelas dalam bentuk apa. Cuma satu ruang aman yang boleh terapkan minat saya tadi. Dan masa terbaik untuk memulakannya adalah semasa suasana sastera, seni dan budaya sedang di tahap tertinggi sekitar 2010-2014. Itu di mata saya yang mungkin sebelum ini dan selamanya pun tak disisihkan.
Saya lihatnya dari sudut alternatif. Dan, masa itu, Kota Bharu ikuti rapat Kuala Lumpur dan negeri lain, dengan beberapa kolektif tumbuh. Mungkin sebelum era buku indie melambung naik lagi. KB masa itu ada Papakerma, Kedai Hitam Putih, Buku Jalanan (KB, Bachok, Machang) dan rakan-rakan di KB Free Market. Juga pelukis dan produk DIY, serta kugiran-kugiran yang pernah lepak di Gegey Music Studio. Mungkin lebih awal dari itu ialah era ‘payung’, ‘Pade Bas’, & ‘parking’.
Di akhir Disember 2015, saya lihat KB perlu ada satu ruang lagi, iaitu Kedai Buku Alternatif. Juga sebuah ruang yang boleh diisi semua sisi di atas bilamana kita sedang bergabung untuk sebuah acara. Secara mundar-mandir untuk keputusan berhenti kerja di Kuala Lumpur, KITARTB dibuka.
Sebelum itu, saya ada membuka akaun Instagram dengan nama Sarang Buku untuk menjual beberapa buku dari Indonesia. Masa itulah, saya terdedah dengan beberapa kedai buku independen di dalam dan luar negara. Saya tertarik dengan terma yang digunakan di Turki. Mereka menyebut buku sebagai Kitap dan kedai buku sebagai Kitapçi.
Diputuskan, nama yang sesuai untuk kedai buku alternatif di Kota Bharu ialah KITARTB. Hasil gabungan Buku (kitab) + Seni (art) dan ia disebut KITAB. Selepas melihat di Kota Bharu kebanyakan kedai buku menggabungkan elemen buku & alat tulis.
KITARTB berinteraksi dengan awam melalui pelbagai acara. Ini jalan alternatif yang paling ketara kerana kebanyakan kedai buku di Kota Bharu hanya melakukan promosi terhadap jualan. Setakat ini, boleh dikatakan hampir setiap minggu acara berkaitan buku dan seni berlangsung di KITARTB. Selain beberapa penglibatan acara di luar kedai.
Setakat dibuka pada 13 Mei 2016 iaitu 6 bulan lalu, KITARTB sudah dapat dihidu oleh setiap daerah di dalam Kelantan. Bercadang untuk ke luar Kelantan dalam tahun hadapan.
RIDHWAN
Bagaimana dengan pemilihan lokasi KITARTB?
EZZMER
Pilihan lokasi di aras tiga Bazar Tok Guru secara permukaan, ia tidak sengaja. Berlaku selepas berjumpa dengan Dhani Ahmad. Setuju kerana harga sewanya murah dan untuk permulaan ia berbaloi.
Semasa membuat bayaran deposit dan beberapa bulan sewa saya mula terdedah kepada konsep. Di mana, masyarakat KB khususnya tahu, Bazar Tok Guru (bahkan tiga lagi bazar di KB) hanya dipenuhi dengan jualan berasaskan kain baju. Itupun di aras satu. Aras dua dan tiga keseluruhannya mati.
Jadi, KITARTB tekad mencelah dengan kedai buku. Dengan itu senang untuk masyarakat perhati. Walaupun pada permulaan ia nampak agak ganjil. Lama kelamaan tajam juga.
RIDHWAN
Antaranya, aktiviti apa yang telah dijalankan di KITARTB, dan untuk masa depan aktiviti-aktiviti sebagaimana pula yang mahu diteroka?
EZZMER
Banyak berkisar tentang sastera, seni dan budaya. Pada bulan kedua pembukaan, kita dijemput untuk memeriahkan acara Art In The Alley di sebuah cafe di sini. Itu titik tolak ke arah pembentukan ATOM dan acara Art In The Garage pada Oktober lalu.
Seterusnya kita telah menjadi tuan rumah kepada Jelajah Pelancaran Buku Sajak Gustavo, karya Mohd Jayzuan dari Rabaklit & Projek Rabak, di Kelantan. Bagi saya ia sebuah tunjuk ajar untuk melangkah ke seterusnya. Pada acara itu juga, kita selitkan elemen tradisional iaitu rebab.
Untuk kelangsungan kedai, kita adakan Diskopi. Satu acara diskusi berkaitan sastera, seni, budaya dan hal-hal setempat. Setakat ini, kita buat setiap hari Jumaat. Secara tidak sengaja, KITARTB dapat ilham untuk Kelab Buku. Untuk yang hadir dan cenderung kita telah wujudkan KALAM. Dari situ kita mula gerakkan Projek Zine Kelantan. Harapnya berlangsung untuk beberapa siri ke hadapan.
Selainnya, satu acara pameran dan sembang seni Suar Se-Nukih Mek, telah diadakan baru-baru ini. Mengetengahkan dua pelukis mandiri perempuan yang telah banyak menghasilkan karya yang bagus.
Untuk keberkesanan lanjut, saya sedang fikirkan sebuah kafe buku. Kerana plan awal KITARTB adalah itu. Ia mungkin secara minimal di dalam lot sekarang.
Saya bersama KITARTB Ink mengalukan lebih banyak percetakan dan penghasilan buku daripada masyarakat setempat. Juga ruang-ruang seni diwujudkan.
Untuk aktiviti seterusnya kita bercadang untuk bukukan biografi penulis-penulis Kelantan. Terdahulu dan terkini. Boleh jadi merangkumi jelajah sastera ke tempat asal mereka.
Kita juga sedang meneliti dua tiga novel bertemakan Kota Bharu-Kelantan seperti, Orang Kota Bharu, Melati Kota Bharu, Paduka Che Siti dan beberapa buku sejarah tempatan. Kemudian diadun menjadi sebuah dokumentari.
RIDHWAN
Kota Bharu ini apa esensi perasaannya yang anda perasan? Selain itu apa pendapat anda tentang Malaysia? Apa yang terlintas bila ia disebut?
EZZMER
Kota Bharu bernafas dengan roh kekitaan. Majoriti isinya adalah Melayu di samping minoriti masyarakat Cina dan India. Tetapi ia telah sejiwa di atas beberapa faktor.
Kalau dilihat masyarakat Cina di kampung-kampung, mereka telah hidup dengan mengabdikan rasa Kota Bharu itu sendiri. Mereka mengamalkan cara hidup, loghat, makan dan pakai sama seperti masyarakat Melayu.
Kota Bharu berkongsi semangat berniaga pada semua isinya. Baik Melayu, Cina dan India masing-masing meminati bidang perniagaan. Begitu juga soal seni dan budaya. Kita ada Tok Dalang dari masyarakat Cina dan juga Tok Jogho Dikir Barat dari masyarakat India
Dan tuntasnya, Kota Bharu adalah Kota Bharu. Tidak wujud Melayu, Cina dan India.
Malaysia adalah sebuah eksperimen yang panjang melalui gabungan dari pelbagai unsur. Dalam pada menentukan pembolehubah mana yang sesuai kita sedang tersangkut di pelbagai proses termasuklah mengenal sumber diri. Dengan sukatan yang dicampur aduk dalam tabung uji yang dinamakan negara kita masih separa siap.
Nyatanya, apabila kita lebih selesa meraikan semangat kenegerian lalu rasa longlai bila disatukan di bawah Malaysia. Kerana apa? Kerana kita sudah cuba cari nada Malaysia tetapi masih lagi ada bunyi negara lain. Termasuklah soal rasa dan jiwa. Saya pun belum jelas samada Malaysia ada Malaysia yang sebenar.
RIDHWAN
Baik, rasanya sampai sini interviu kita, ada apa-apa nak tambah atau ada kata-kata akhir?
EZZMER
Segelintir dari kita terlalu menghormati ciptaan atau ruang seni di luar sehingga tidak sedar begitu ramai yang teruja dengan keunikan negeri sendiri.
KITARTB di Kota Bharu sebagai kedai buku alternatif adalah penambah perisa kepada yang sedia wujud. Ia akan bergerak ke hadapan di atas kesinambungan olahan orang-orang sedar terdahulu. Dari segi sejarah, Kelantan begitu rancak dengan usaha memartabatkan seni penulisan itu. Pustaka Aman Press salah satunya. Esei tentang kajian novel melayu terawal oleh William R Ruff juga ada menyatakan ia dari Kelantan (1922). Walaupun penerbit buku tersebut (MAIK) masih wujud & aktif sehingga sekarang tetapi masih ramai yang tidak dipeduli. Begitu juga dengan inisiatif dari Perpustakaan Negeri dan ruang-ruang lain seperti Buku Jalanan, kolektif penerbitan zine dan seangkatan dengannya. Dibiarkan sepi.
Kerana segan dengan tokoh-tokoh penulis seperti Abdul Kadir Adabi, Asaad Shukri, Abdullah Nakula, Abdul Razak, S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan ramai lagi, KITARTB Ink wujud sebagai sebuah percetakan alternatif untuk menyambut cinta mereka. Dan pastinya harapan inisiatif ini adalah untuk menyediakan akses kepada para penulis di sini.
Saya akhiri dengan ucapan terima kasih untuk ruangan ini. Harapan saya, sikap berpuak-puak dan ‘aku-aku, mung-mung’ yang wujud di Kelantan sehingga mengenepikan budaya dan keramahan seni terhapus sedikit demi sedikit. KITARTB percaya ketidakpedulian masyarakat dapat dihindari dengan kesegaran seni sedia ada.
RIDHWAN
Baik, terima kasih dan semoga maju jaya!
EZZMER
Terima kasih, Wan. Tak sabar tunggu monokrom.
Imbasan penuh: Binfilem
Naskah fizikal: RM7 HABIS