INTERVIU Nadia J. Mahfix
Oleh Ridhwan Saidi
Nadia J. Mahfix salah seorang fotografer yang saya ikuti kerja-kerjanya dan antara yang paling saya suka zine ‘is this the [n]’ yang bernuansa gelap tapi ada juga bibit-bibit harapan. Berikut merupakan hasil interviu kami yang berlangsung sekitar akhir tahun lepas.
RIDHWAN
Boleh cerita macam mana dapat kamera pertama? Ada kisah waktu kecil atau sekolah yang masih ingat?
NADIA
Kalau ikutkan kamera pertama, rasanya dari zaman sekolah. Dapat hadiah hari jadi dari ibu, compact film camera. Kalau tak sebelum tu guna kamera keluarga yang sedia ada saja. Jadi bila sudah ada kamera sendiri, segala benda yang boleh tangkap, tangkap aja. Tapi sebab zaman tu kira filem boleh tahan mahal juga, selalu juga la kena bebel membazir shot.
RIDHWAN
Waktu tu yang tanggung cuci filem ibu? Membazir shot yang bagaimana, apa yang anda tangkap waktu tu? Sudah ada objek atau subjek tertentu yang menarik minat waktu tu?
NADIA
Waktu sekolah biasalah, dapat duit poket hari-hari. Jadi selalunya cuci filem guna duit poket yang dapat. Tangkap gambar membazir seperti bangkai tikus, hahaha. Malangnya tak tau mana negatif tu pergi. Banyak juga negatif dah terbuang & hilang sewaktu pindah-randah.
RIDHWAN
Oh, okay. Bangkai tikus dan kematian ni rasanya hingga sekarang kerap saya perasan dalam foto-foto anda, apa yang buat anda tertarik dengan hal-hal yang gelap sebegini?
NADIA
Secara jujurnya, pada mulanya saya sendiri tidak sedar akan tema hal-hal yang gelap sebegini wujud dalam hasil-hasil foto saya. Tetapi setelah ada beberapa insiden di mana, kawan-kawan rapat hinggalah kenalan biasa saja pun boleh, jika nampak tikus, burung (dan sebagainya) mati terus hubungkaitkan dengan saya. Itu agak kelakarlah.
Dan buat saya terfikir sendiri, kenapa saya suka tangkap foto berkaitan hal-hal sedemikian. Dan terus-terang, saya pun masih kurang pasti.
RIDHWAN
Tidak hanya benda-benda mati, imej burung terbang pun ada juga dan ini mengingatkan saya kepada Nowhere, antara buku foto Malaysia yang paling saya suka. Boleh kongsi sedikit proses pembikinan buku tersebut. Dan selain itu boleh juga kongsi beberapa projek photobook lain?
NADIA
Burung terbang mungkin simbolik untuk harapan & kebebasan. Nowhere hasil daripada imej-imej yang dihasilkan sewaktu terlibat dengan workshop Maggie Steber. Ia cuba menceritakan tentang dua perkara tentang kewujudan, iaitu kehidupan & kematian – dan selepas itu, apa? Ia juga boleh dikatakan cuba menjawab kepada photobook saya yang sebelum itu, ‘Is This The [n]’? *end. Nowhere di-desain & cetak oleh Shafiq dari Rumah Amok.
Buat masa sekarang, masih belum ada photobook dalam pembikinan. Idea ada, execution sahaja belum tiba lagi. Dan juga, duit untuk membikinnya. Haha.
RIDHWAN
Ada banyak cara untuk kita share gambar, guna Instagram dan laman sosial misalnya, lebih-lebih lagi sekarang zaman internet. ‘Is This The [n]’? dan Nowhere itu misalnya kalau di-transfer jadi slideshow laman web, ia akan jadi lain, atau feel-nya akan jadi lain. Boleh tau kenapa pilih bentuk buku fizikal atau ada apa-apa yang spesial bila buat dalam bentuk berjilid?
NADIA
Zaman internet ni teknologi makin canggih. Kalau dulu kita guna analog, sekarang kita beralih ke digital. Dengan digital, kita boleh stor beribu hingga berjuta gambar ke dalam memory card. Dan juga kita boleh upload sebanyak foto ke segala bentuk laman sosial yang wujud. Tapi bagi saya, feel dia tak sama dengan melihat hasil foto yang dicetak dan boleh dipegang. Seperti membaca cerita, ada beza membaca melalui e-book & buku fizikal. Baunya pun lain. Dan rasa lebih, ‘real’. Sama juga seperti foto-foto.
RIDHWAN
Untuk sekarang, dari segi storan bagaimana? Kadang-kadang digital hard disk boleh korup dan gambar hilang begitu aja. Pernah jadi macam ni?
NADIA
Malangnya pernah. Bukan sekali tapi dua tiga kali jugalah. Jadi sekarang kerapkali buat back-up lebih. Kebelakangan ini, lebih kepada analog fotografi, jadi ada juga simpan negatif. Semoga kali ini tidak hilang lagi.
RIDHWAN
Pernah cuba rakam video? Kenapa still images? Apa yang buat fotografi menarik atau spesial?
NADIA
Pernah, sekitar 2010 tak silap. Tolong kawan buat filem eksperimental pendek. Menarik juga tapi proses mengedit video tu yang tak sanggup nak lalui. Berjam-jam dengar cerita kalau mahu edit video. Apa yang buat fotografi menarik? Hmm, mungkin bunyinya cliché, tapi fotografi bukan saja boleh bekukan sesuatu momen tapi juga boleh menyembunyikan pelbagai lagi cerita tersirat. Macam kalau kita lihat satu foto sekarang dan foto yang sama dalam 10 tahun lagi. Mungkin tanggapan kita tentangnya lain. Perasaan & memori yang foto itu dapat evoke dari kita juga lain.
RIDHWAN
Kembali kepada photobook, macam mana boleh tentukan saiz foto atau saiz buku tersebut? Adakah saiz ini akan evoke perasaan yang berbeza juga? Dan juga kualiti printing, ‘Is This The [n]’? dan Nowhere pakai cetakan risograf. Juga kualiti kertas. Semua ini semacam memainkan peranan masing-masing.
NADIA
Ya, saiz foto, buku, jenis kertas dan cara pencetakan memang memainkan peranan dalam pembikinan photobook. Lebih-lebih lagi sebab kita bermain dengan visual & tidak berharap kepada teks & caption untuk mendapatkan sesuatu perasaan daripada sesiapa yang memegang, melihatnya.
Macam untuk ‘Is This The [n]?’ pada mulanya mahu di-design untuk menyerupai sebuah kitab. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, dibatalkan. Nowhere pula dicetak sebegitu kerana saya mahukan ‘a timeless feel’ untuknya. Entah kenapa saya memang tertarik dengan kertas kraft.
RIDHWAN
Apa pendapat tentang Malaysia umumnya dan fotografi khususnya?
NADIA
Malaysia, susah nak kata. Tambahan lagi dengan keadaan sekarang, pendapat yang ada terlalu berunsur pesimistik. Ada sedikit perasaan love & hate. Sama seperti dengan fotografi di Malaysia, kita punya ramai fotografer yang berkebolehan & berbakat tetapi malangnya terkurung dalam kelompok masing-masing. Terperangkap dengan perasaan syok sendiri & ego masing-masing. Penuh politik juga tetapi itu dalam bidang apa sekalipun ada permainan politiknya. Sayang sekali. Kalau lihat negara jiran, mereka jauh lebih sudah berkembang dari kita. Mungkin masalah utama scene fotografi di Malaysia ini ialah tiada kurator.
RIDHWAN
Saya perasan kurator seni lokal umumnya apresiasi mereka tentang fotografi lebih ke arah seni halus, jadi ada ruang dan potensi fotografi yang semacam terlepas pandang.
NADIA
Ya, selalunya begitulah. Mungkin pada mereka kalau bukan seni halus, maka bukan seni lah. Mungkin.
RIDHWAN
Ada fotografer dalam dunia yang anda suka? Ia mungkin boleh jadi tingkap untuk orang lebih kenal anda atau mereka sendiri boleh jatuh suka dengan fotografi.
NADIA
Mestilah ada. Ramai juga, salah satu daripadanya Masahisa Fukase.
RIDHWAN
Ia mengingatkan saya kepada gagak. Dan foto-fotonya ini ada semacam energi. Anda percaya foto boleh capture energi? Seperti merakam di gig yang intens, bolehkan intensiti ini kita transfer kepada mereka yang menatap gambar?
NADIA
Ya, rata-rata memang akan ingat tentang gagak kalau disebut nama Masahisa Fukase. Saya percaya foto boleh merakam energi, sebab itu kadang-kadang bila kita melihat foto, contohnya foto gig – kita seakan berada di situ juga. Ia bergantung juga kepada fotografer yang merakam gambar tersebut 😀
Imbasan penuh: Binfilem
Naskah fizikal: RM7 HABIS