Kerja Tangan isu 11

IMG_6551.jpg

INTERVIU Adinata Gus

Oleh Ridhwan Saidi

Saya pertama kali bertemu Adinata selepas forum tentang puisi di KABO, Bangi. Sebelum itu kerap juga saya terjerumus bergosip tentangnya bersama teman-teman, kebiasaannya dari olahan kisah-kisah di laman sosial. Saya juga mengikuti tangkapan instagram sajak-sajaknya yang tersisip di dalam surat khabar. Ia ada nuansa kerinduan seingat saya. Selain itu beliau juga telah menghasilkan sebuah kumpulan puisi berjudul Aku Namakan Kau Angin, yang menurutnya tidak mahu dan tidak pernah dibaca. Berikut merupakan interviu kami yang dijalankan di laman sosial:

RIDHWAN

Untuk permulaan, boleh cerita sikit tentang bagaimana boleh mula mendekati puisi? atau buku umumnya? Ada cerita waktu kecil atau sekolah?

ADINATA

Ketika umur saya masih di bawah 12 tahun, di kampung saya ini di Lenggong, Perak ada satu keluarga (Puan Salmah) yang boleh dikatakan sebagai pencinta buku juga. Mereka mempunyai sebuah perpustakaan peribadi yang sangat menarik berbanding perpustakaan awam. Rumah mereka ini terletak berdekatan dengan sekolah agama waktu petang. Bersesuaian dengan umur pada ketika itu, saya hanya mengunjungi perpustakaan mereka untuk baca dan pinjam komik seperti Doraemon dan Detektif Conan. Saya dan kawan-kawan akan pergi ketika waktu rehat, jadi boleh baca komik sambil makan keropok lekor. Oh kadang-kadang saya pinjam Mastika sebab nak baca cerita hantu pada sebelah malam selepas ulangkaji pelajaran.

Kiranya, Puan Salmah inilah orang pertama yang buat saya kenal apa itu perpustakaan.

Pada waktu malam di rumah kampung, tak banyak perkara yang boleh dilakukan. Kakak saya pernah menulis cerpen untuk menyertai pertandingan tertentu. Ketika dia cuba menyelesaikan kerjanya, saya selalu menempel di sisinya dan bagi pendapat tentang cerpennya. Adakala, dia marah dan suruh saya diam kerana idea mengarut. Saya tak tertarik sangat pun untuk menulis ketika itu, yang buat saya takjub adalah bagaimana sebuah mesin taip itu berfungsi. Bunyinya sangat garang dan tegas. Haha. Dalam hati saya ketika itu sangat kagum, pada masa yang sama rasa nak ketawa pun ada. Kakak saya tulis cerpen fasal anyam ketupat pun boleh menang! haha

Saya hanya sempat menikmati perpustakaan Puan Salmah sehingga umur 12 tahun sebelum masuk ke sekokah berasrama penuh. Hidup berjauhan dengan keluarga selalunya akan buat kita jadi sedikit sentimental dan melankolik.

Saya sangat takut memori tentang kehidupan di kampung akan hilang. Bermula pada saat itu, saya mula beri perhatian khusus dalam matapelajaran Bahasa Melayu karangan. Jika ada tugasan yang memerlukan saya mengarang tentang kehidupan, saya nampak itu sebagai satu peluang untuk melepaskan apa yang terbuku di hati. Hanya dengan cara itu saya dapat berkongsi tentang kampung saya di dalam sebuah karangan. Memang sentimental!

Pernah sekali, ketika keputusan peperiksaan akhir tahun bagi subjek Bahasa Melayu diumumkan, guru subjek saya mengumumkan esei sayasebagai terbaik dengan markah 99% dan dijadikan sebagai contoh kepada pelajar-pelajar daripada tingkatan yang lain. Bayangkan betapa sepenuh hati menulis karangan walhal untuk peperiksaan saja pun! haha

Maka bermula dari saat itu, saya beralih pula ke perpustakaan sekolah untuk mencari pengalaman intim yang baru.

3 judul ini saya masih ingat jelas ketika membacanya secara curi-curi di dalam kelas Add Math. Rona Bosphurus oleh Zaid Akhtar, Mencari Locus Standi oleh Nisah Haron dan Merdekakan Cinta Ratna oleh Sri Rahayu Yusop. Ketiga-tiga judul ini saya pilih sebab, ada tanda pemenang hadiah HSKU di hujungnya. Saya menganggap HSKU pada masa itu seperti Man Booker Prize sekarang. Dan saya kata dalam hati, “Power gila penulis Malaysia.” Hahaha.

Begitulah serba sedikit bagaimana saya berkenalan dengan objek bernama buku. Saya masih buta puisi ketika itu. Tetapi bila difikirkan semula semua pengalaman itu adalah puisi sebenarnya.

RIDHWAN

Sebut tentang sentimental dan melankolik itu perasaan yang saya dapat bila baca puisi saudara. Boleh cerita sikit proses menghasilkan buku Aku Namakan Kau Angin? Juga perihal sajak-sajak yang dihantar ke akhbar. Adakah sajak-sajak ini sudah difikirkan untuk berkumpul di dalam satu buku atau ia boleh berdiri satu-satu?

ADINATA

Sebetulnya, saya mula menulis puisi sekitar tahun 2010 selepas tamat peringakat asasi universiti. Ketika penerbitan alternatif masih baru dan segar. Buku Aku Namakan Kau Angin, jujur saya katakan adalah pengalaman eskapism sahaja. Ia tidak lebih daripada itu. Mungkin ada satu atau dua buah puisi sahaja yang saya cipta sebagai refleksi apa yang pernah terjadi kepada diri sendiri. Saya sangat takut pada ketika itu untuk berdiri atas nama puisi-puisi cinta sahaja. Kerana hal patah ini ini, biasa disebut orang sebagai klise dan tak menguntungkan apa-apa pun kepada dunia puisi. Tetapi, saya selalu tekankan kepada diri sendiri, apa yang jujur daripada hati itulah yang akan tumpah ke atas kertas. Fikir punya fikir, pada penghujung 2015 barulah saya mengumpulkan semua sekali puisi cinta (kononnya) dan dihantar kepada pihak penerbit. Ia diterbitkan pada bulan Mac 2016!

Berbanding puisi-puisi yang tersiar di akhbar, ini saya jadikan sebagai paltform untuk menguji kualiti dan penerimaan khalayak. Setakat ini, saya akan menghantar puisi-puisi ke akhbar jika puisi-puisi tersebut memenuhi 3 perkara yang saya jadikan sebagai syarat peribadi. Pertama, ia adalah pengalaman yang asli. Kedua, ia harus jujur tentang perasaan ketika mengalaminya dan ketiga, ia harus bersifat ingin menyampaikan sesuatu kepada pembaca, tetapu dalam bentuk yang segar.

Ringkasnya, saya lebih suka puisi-puisi ini berdiri sendiri di dalam akhbar berbanding menjadikan ia sebuah buku. Berbeza dengan Aku Namakan Kau Angin, buku tersebut saya kategorikan sebagai ‘spiritual-journey’ ketika pertama kali mengetuk pintu puisi.

RIDHWAN

Ada gua purba di Lenggong bukan? Anda ada ke sana?

ADINATA

Satu hal yang menarik jika kau berasal dari Lenggong, kau akan dapat soalan macam ini, haha!

Saya tak pernah sekalipun menjejak kaki ke muzium arkeologi di Lenggong atau mana-mana gua purba. Mungkin tak dekat sangat di hati. Tetapi saya selalu ke tebing sungai Kg. Beng di mana filem Hollywood Anna and The King pernah shooting ketika tahun 1999. Banyak tempat saya boleh bawa. Kalau mahu datang melawat jangan segan untuk beritahu. Haha!

RIDHWAN

Baik! Mengapa puisi? Apa yang buat bentuk ini menarik minat anda?

ADINATA

Satu perkara yang buat saya tersedar kenapa puisi? adalah kenaifan. Ketika saya mengarang novel — saya akan menjadi orang lain. Tetapi dengan puisi saya akan selalu menjadi diri saya sendiri. Hanya dengan menulis puisi, satu-satunya cara untuk saya mengenali keperibadian diri. Dan dengan puisi juga saya mengenal keperibadian orang lain pula. Tetapi yang terpenting, dengan menulis puisi alam bisa berkata-kata!

RIDHWAN

Boleh kongsi sedikit proses? Anda ada rutin tertentu atau lebih bebas, misalnya tulis tangan atau terus taip di fon atau laptop atau tidak kisah. Puisi-puisi ini adakah ia mengalir terus siap, atau diperhalusi dari semasa ke semasa dalam memenuhi 3 syarat peribadi tadi?

ADINATA

Ketika idea datang ke dalam kepala, saya gemar menghafalnya terlebih dahulu, saya akan membayangkan bagaimana bentuk keseluruhannya jika ditaip ke dalam komputer. Jika melepasi waktu untuk tidur saya akan terus salin ke dalam komputer kerana takut terlupa. Tetapi jika sebaliknya, saya hanya akan biarkan kata-kata bermain di dalam kepala dengan sendiri.

Setelah dizahirkan dalam bentuk salinan A4, saya akan melakukan proses pemurnian terlebih dahulu. Maka akan ada banyak conteng-conteng dan nota kaki. Ya, betul kata saudara. Puisi tersebut hanya akan dikongsikan jika menepati syarat peribadi yang saya sebutkan awal tadi.

RIDHWAN

Anda ada waktu atau mood tertentu dalam melakukan pemurnian tersebut? Misalnya malam atau tempat yang sunyi lebih baik, atau di mana saja, kafe-kafe dengan bunyi orang tidak jadi masalah? indoor atau outdoor atau di dalam perjalanan atau…?

ADINATA

Saya pernah cuba semua method yang saudara sebutkan, ternyata yang paling berkesan adalah ketika waktu tengah malam dan sunyi. Bunyinya agak tipikal. Tetapi itu sajalah alternatif yang ada dan saya yakin keberkesannya. Jika saya keluar ke sesuatu tempat sama ada indoor atau outdoor, saya berkeputusan waktu sebegitu hanya dimanfaatkan untuk meneliti dan memahami.

Saya masih pada tahap ingin menajamkan deria pengamatan dan pemerhatian. Kemudian, barulah saya pulang dan merancang bagaimana untuk menulisnya. Waktu peribadi hanya ketika saya dan puisi, selebihnya adalah milik orang lain dan deria saya.

RIDHWAN

Ada pengarang terdahulu, atau semasa, atau malah (potensi) masa depan yang anda rasakan penting/kuat pengaruhnya dalam fasa formatif anda atau malah sekarang ini? Ada penulis yang ada masih ulang baca?

ADINATA

Saya seorang pembaca puisi dan novel tegar. Jadi ada masanya citarasa saya selalu berubah-ubah. Tetapi buat masa ini saya pasti semua orang pun mencintai puisi-puisi Karl Agan. Hanya ada satu nama setakat ini. Pengkarya perempuan pula saya suka untuk menyebut Rasyidah Othman.

Suka juga untuk saya memetik nama-nama seperti Latiff Mohidin dan Suhaimi Hj. Muhammad tetapi cukup sekadar rujukan. Saya lebih suka melihat apa yang kita ada sekarang dan fokus dengan tenaga yang kita miliki. Yang lama akan terus pergi, yang baru harus diberi perhatian. Dalam hal ini, saya lebih bersikap optimis dan buang jauh sentimental terhadap karya-karya lepas.

Saya sangat menyukai Albert Camus, Jean-Paul Sartre, David Foster Wallace, Kazuo Ishiguro, Roberto Bolano, Rachel Kushner dan Alejandra Pizarnik. Selalunya, pengkarya yang menulis tentang kematian,kewujudan dan kegelapan saya akan baca karyanya walau apa sekalipun.

Untuk pengarang lokal, saya cukup beri perhatian kepada, saudara Ridhwan sendiri, Wan Nor Azriq, Johan Radzi, Hafiz Hamzah, Sufian Abas, Ainunl Muaiyanah, Faisal Mat Zawi dan Syafiq Ghazali. Ada beberapa nama lagi yang punya potensi menulis sangat tinggi tapi malu-malu untuk keluar seperti Nazir Harith Fadzilah, Jef Hadi dan Fariq. Mereka ini akan mewarnai sastera kita lagi 20-30 tahun. Saya jadi sangat tidak sabar untuk menunggu waktu itu akan tiba. Semoga Tuhan kurniakan umur yang panjang!

RIDHWAN

Apa pendapat anda tentang Malaysia umumnya? atau khususnya puisi, penulisan dan sastera? Apa perkara pertama yang terlintas kalau disebut Malaysia?

ADINATA

Dramatik!

Walau di tempat mana pun, saya akur akan ada penerimaan dan penentangan. Tetapi orang kita cenderung untuk berdiskusi/bergosip perkara-perkara yang tak penting. Mungkin saya boleh panggil sastera pasar. Kita perlukan kritikan yang lebih tajam dan simpan gosip-gosip murah ini dalam almari sendiri saja. Kita dahagakan karya bukan drama TV3 pukul 7 petang. Ouch!

RIDHWAN

Kritikan tajam perlukan elemen kritikal dan tajamnya pula dari segi artikulasi hujah. Hujah-hujah di parlimen Malaysia sendiri bila direnungi majoritinya tidak tajam. Tanpa gosip dunia akan jadi senyap?

ADINATA

Haha, betul juga itu, tanpa gosip dunia bertambah bosan sudah tentunya. Nak hapuskan pun tak boleh. Tapi satu hal yang pasti jika ada peluang untuk gosip berlaku, saya tak akan beri ruang kepada diri sendiri untuk jatuh ke dalam kancah tersebut. Alamak, jadi makin serius pula.

RIDHWAN

Adakah gosip ini benda jahat di mana pelakunya akan masuk neraka?

ADINATA

Jika tanya pada Nietzsche, dia kata di syurga tak ada orang yang menarik pun di situ. Gosip adalah benda menarik, jadi kita tahu di mana kita akan jumpa pelakunya.

Tetapi jika mengikut Dante, jalan ke syurga akan bermula daripada neraka juga. Bahaya juga saya punya statement ini. Haha.

RIDHWAN

Baik, ada apa-apa lagi yang mahu ditambah sebelum sesi ini tamat?

ADINATA

Apa sekalipun, saya tetap bangga dan berasa mewah perasaan kerana terlingkup sama menggauli sastera di Malaysia. Moga-moga di waktu tua kelak, kita masih rajin dengan kerja karang-mengarang, dan saya teruja untuk melihat bagaimana generasi ketika itu berdiskusi tentang generasi kita.

RIDHWAN

Adakah ini satu pesan, nasihat atau amanat?

ADINATA

Ia lebih kepada harapan, harapan yang menggunung, saya harap pembaca pun ada harapan kecil seperti saya.

RIDHWAN

Saya nampak ia lebih berbentuk kerisauan.

ADINATA

Walau seteruk mana layanan yang kita beri kepada sastera sendiri, walau seburuk mana karya yang kita beri kepada sastera sendiri, walau sekecil apa pun sumbangan yang kita beri kepada sastera sendiri, walau kecewa teruk sekalipun saya memandang sastera sendiri, secara peribadi, saya masih seorang yang optimis.

Ke sudut mana pun kita cuba lari, kita tahu segala yang terjalin atas muka bumi ini melekat pada satu roda yang sama. Saya anggap kekecewaan kecil ini sebagai garis halus supaya kita dapat membezakan dengan kejayaan yang besar.

Jika tak ada karya yang buruk, bagaimana kita nak tahu satu karya lagi baik? Keseimbangan. Senang cerita, optimis.

Jikalau kalian risau ia teruk maka hasilkan dengan lebih baik.

Imbasan penuh: Binfilem

Naskah fizikal: RM7 HABIS