Kerja Tangan isu 10

fullsizerender-2

INTERVIU Wan Nor Azriq

oleh Ridhwan Saidi

Saya pernah tumpang tidur di rumah Wan Nor Azriq di Setiawangsa untuk mengikuti bengkel fotografi di Galeri Petronas selama seminggu dalam tahun 2014? saya sendiri sudah lupa. Lukisan-lukisan besar tergantung dan buku-buku bergelimpangan. Dindingnya berona keorenan (oleh sebab lampu) atau merah jambu? Dan di bilik tetamu di mana saya tinggal, terdapat sebuah meja tulis dengan tingkap besar di hadapannya mengadap luar. Udara di kawasan perumahan ini dingin sekali di waktu malam dan lebih-lebih di waktu subuh. Setiap pagi saya akan berangkat ke stesen LRT Setiawangsa untuk ke kelas. Berikut merupakan interviu kami yang berlangsung di laman sosial:

RIDHWAN

Untuk permulaan boleh kongsi kisah waktu kecil atau masa sekolah tentang bagaimana mula kenal seni dan sastera?

AZRIQ

Saya tidak membesar dengan sastera. Saya membesar dikelilingi oleh lukisan ayah saya, atau lebih tepat, saya membesar dengan melihat lukisan. Dulu bilik lukisan ayah berada di lantai bawah bersebelahan ruang tamu. Pintunya asal berwarna oren (salah satu kuku jari kaki saya pernah tersepit di pintu ini). Pada waktu malam, sebelum tidur, saya akan turun cari ayah dan duduk melihatnya melukis. Bilik lama ayah itu nak kata studio pun tidak kerana ia lebih mirip sarang tikus. Majalah ‘Asia Today’ bergelimpangan di atas lantai. Saya datang ke bilik ayah bukan kerana saya teringin nak melukis (pendidikan seni adalah antara subjek saya selalu gagal di sekolah). Saya cuma nak berbual dengan ayah dan melihatnya bekerja. Ayah juga akan minta saya berikan komentar walaupun cita rasa seni saya masa itu hanya boleh pergi sejauh komik Tintin dan Asterix. Pengalaman melihat ayah bekerja menggauli warna di atas kanvas adalah pendidikan paling penting dalam hidup saya sebelum saya kemudian belajar menggauli kata-kata di atas kertas.

RIDHWAN

Lukisan bagaimana yang ayah anda bikin? Lebih realistik, atau abstrak? Dan adakah secara tematik ada kelangsungan (atau perlawanan) dari apa yang ayah anda lukis dengan apa yang anda tulis? Ada tindakbalas tertentu secara sedar?

AZRIQ

Ayah gemar melukis pemandangan melalui medium akrilik. Atau dia akan lukis abstrak. Bergantung pada mood dan tuntutan kewangan (abstrak susah untuk dijual). Kalau ada sebarang kelangsungan antara ayah dan saya ialah keterbukaan kami pada karya dari luar negara. Ayah tidak pernah melalui pendidikan formal untuk menjadi pelukis. Dia belajar sendiri melalui buku dan majalah lukisan antarabangsa. Reaksi atau perlawanan saya terhadap ayah hanya dari segi prinsip sebagai karyawan. Ayah melukis untuk wang tanpa ada sebarang cita-cita besar atau rasa tanggungjawab pada komuniti seni di sekelilingnya. Saya menulis bukan saja untuk diri saya, tapi saya menulis juga untuk meninggalkan permainan menarik dalam komuniti kita yang agak bosan dan mendatar ini.

RIDHWAN

Apa pendapat anda tentang Malaysia sebagai sebuah negara? Dan boleh kupas sedikit apa yang membuatkan komuniti seni dan sastera kita ini bosan dan mendatar?

AZRIQ

Saya suka analogi, jadi izinkan saya untuk gambarkan Malaysia secara analogi. Bayangkan ada sebuah rumah sewa dan tiga orang penyewa. Tuan rumah ialah Melayu. Penyewa ada Melayu, Cina, India. Master bedroom akan dapat pada Cina kerana hanya dia mampu bayar sewanya. Bilik kedua diberi pada Melayu kerana ia ada balkoni dan pemandangan di luar. Bilik bawah sebelah dapur diberi pada India. Ketiga-tiga penyewa ni ada waktunya masak, makan, tonton tv bersama, tetapi di waktu lain mereka hanya duduk di bilik masing-masing. Dan kerana ini rumah Melayu, maka tuan banyak beri kelebihan pada penyewa bilik kedua. Di mana orang Borneo? Mereka ada di luar pagar rumah, menanti giliran untuk masuk. Itulah Malaysia.

Sastera kita bosan kerana kita masih bermain dengan idea tuan rumah dan penyewa rumah tadi. Sesiapa yang berpengaruh dalam sastera rasa orang lain harus ikut peraturan rumahnya kerana dia pegang kunci dan dia yang menjaga pintu pagar. Hanya satu jalan keluar daripada kebosanan ini: bakar rumah tersebut!

RIDHWAN

Di dalam 86 ada bab “Stetoskop” yang berbunyi, “Doktor termangu-mangu keluar dari klinik dan mula memeriksa degup jantung bangunan-bangunan yang sudah musnah.” Di Malaysia masih ada bentuk-bentuk sastera yang belum diterima seperti mikrofiksyen antaranya. Ada yang beranggapan mikrofiksyen itu membazirkan kertas. Ada pendapat tentang hal ini? Juga tentang bentuk-bentuk sastera yang wujud lepas kewujudan internet.

Selain itu, kembali kepada kes membakar rumah tadi, ada apa-apa barang yang boleh kita selamatkan atau biarkan segalanya terus jadi abu?

AZRIQ

Tanggapan ini masih ada kerana pembaca merasakan bahawa prosa dan puisi tidak ada hubungan sama sekali. Padahal kesan puisi itu datang bukan daripada bentuk, tetapi ruang. Setiap karya harus membuka ruang dalam diri pembaca. Justeru kenapa mesti membataskan ruang kepada langit dan awan? Bukankah ruang di dalam laci meja juga mempunyai rahsia dan memori?

Bentuk ialah pakaian minda manusia. Cara kita berfikir melalui filem berbeza dengan cara kita berfikir melalui muzik. Internet adalah teknologi pemikiran paling kompleks manusia pernah cipta. Fabrik dan warnanya berubah sepanjang masa dan kita pun berubah sepanjang masa. Saya fikir sastera masih ketinggalan dalam mentafsir dan menterjemahkan kuasa teknologi ini. Satu novel saya ingat yang asalnya bermula sebagai blog ialah “Spurious” karangan Lars Iyer.

Apa salahnya pun kalau semuanya hancur menjadi debu? Identiti bangsa Malaysia bukan terletak pada bahasa. Tetapi makanan.

RIDHWAN

Makanan bagaimana yang anda suka? Ada restoran atau kedai tertentu di KL atau Kedah atau di Penang?

AZRIQ

Makanan India, Barat, Padang, dan Siam. Apa-apa yang bukan makanan laut sebenarnya. Tentang restoran, saya akan sebut Kedah dahulu: Nasi Kandar Royale, Mee Abu, Mee Syarif, Roti Canai Nasir. KL: Minang Saiyo, Chan Abdullah, Nasi Lemak Bumbung, Jiran, Humble Chef.

RIDHWAN

Kenapa bukan makanan laut? Ada alahan?

AZRIQ

Masalah saya sama dengan Lovecraft: mimpi buruk. Mungkin sebab emak selalu paksa saya makan ikan dan sotong.

RIDHWAN

Rumah terbakar tadi mengingatkan saya kepada salah satu babak dalam Sejarah Melayu, di mana sewaktu Istana Menanti terbakar, ada beberapa orang yang berani telah menyelamatkan barang-barang Sultan dan lalu mereka ini diberikan sepersalinan pakaian. Tidak mustahil sewaktu rumah bernama Malaysia tadi terbakar, meski kita membiarkan saja ia  jadi abu, masih ada orang yang akan masuk dan cuba menyelamatkan sesuatu. Ini terkait dengan masyarakat dan di manakah letaknya masyarakat di dalam kitaran pembacaan atau kitaran sastera?

AZRIQ

Dari runtuhan kota Melaka juga bangsa Malaysia hari ini dibangunkan. Namun kita masih membaca dan sedikit sebanyak masih dihantui oleh tradisi dan semangat moyang kita. Jadi kitaran yang bagus ialah kitaran yang terus bergerak. Kalau masyarakat nak terus gerak dengan roda yang sudah terpatah-patah, ya terserah, tetapi sejauh mana sastera kita akan boleh pergi ke depan?

RIDHWAN

Dari segi makanan anda akan elak makanan laut, dari segi sastera pula ada bentuk tertentu yang anda elak?

AZRIQ

Saya boleh telan apa-apa jenis sastera, kecuali sastera yang ‘pretentious’ dan dipaksa-paksa ingin jadi sastera.

RIDHWAN

Bagaimana pula dari segi penghasilan sebagai pengkarya? Ada bentuk-bentuk tertentu yang mahu fokus terutama buat masa ini?

Sastera prententious ini, apa ungkapan paling tepat bila anda berdepan dengannya?

AZRIQ

Saya dah beberapa kali cuba bentuk esei dan jurnal dalam novel, jadi nak mengelak dalam novel akan datang. Bentuk saya sedang usahakan ialah fiksyen interaktif/kotak-pasir di mana pembaca diberi kebebasan untuk bergerak di antara halaman novel.

Saya tak tahu ungkapan tepat, cuma rasanya itu sama seperti setiap kali saya membayangkan Redza Minhat membaca Bolano. Rasa macam nak kepak kepala ayam.

RIDHWAN

Waktu kecil saya pernah baca buku Choose Your Own Adventure dengan protagonisnya Indiana Jones, dan saya masih ingat saya mati dimakan ketam gergasi di tepi pantai selepas memilih untuk melawan ketam tersebut. Anda pemain board game dan seperti fiksyen, ia juga perlu ada unsur fun. Tetapi fun dan fiksyen (reka-rekaan) ini menjadikan ia senang jadi mangsa prejudis bagi mereka yang dambakan sesuatu yang serius dan non-fiction (yang dianggap real). Fiksyen yang ada elemen serius seperti sejarah dan masalah nasional misalnya lebih mudah untuk dapat tempat bagi mereka yang pakar dan ahli di negara ini. Bagaimana ini boleh berlaku agaknya?

AZRIQ

Plato pernah kata, “Hanya tuhan layak menjadi serius.” Kerana hanya tuhan boleh hidup abadi. Manusia lambat laun akan mati juga, tidak ada benda akan kekal. Nikmati hidup selagi ada peluang untuk nikmatinya. Sebab itu saya suka falsafah Epicurus. Dia seorang ateis dan dia tidak percaya pada kehidupan selepas mati. Daripada resah memikirkan kematian, kita patut hargai waktu bersama kawan-kawan. Saya kira kanak-kanak juga tidak fikir tentang kematian, sebab itu mereka lebih kreatif dari orang dewasa. Dan bukankah seniman yang mula fikir tentang hal besar dan serius, seperti kematian, ialah seniman yang membosankan?

Mungkin al-Attas pun orang yang fun sebenarnya. Tetapi para pengikut yang hanya tahu menongkat langit ini sebenarnya bermasalah dan bosan.

RIDHWAN

Ada ubat untuk sembuh dari masalah pengikut-pengikut ini atau ia sudah takdir?

AZRIQ

Arwah datuk saya dulu kata kalau kita rejam pengikut tegar PAS dalam kawah panas, tarik naik dia tetap akan pangkah PAS. Rasanya sama saja apa jenis pengikut. Tapi kadang-kadang seronok juga melihat seorang manusia biasa bertukar menjadi imej kultus. Entah suatu hari nanti akan ada video game Seruan Al-Attas.

RIDHWAN

Ada tak anti-tesis untuk Redza Minhat?

AZRIQ

Ada. Berhenti berlakon dan berhenti tulis skrip.

RIDHWAN

Ada filem-filem tempatan atau dari rantau Asia Tenggara ini yang gemar? Album muzik dan buku-buku juga kalau ada?

AZRIQ

Saya jarang tonton filem, jadi tak ada filem menarik saya boleh kongsi yang semua orang belum tonton. Album oleh Hujan. Buku terlalu banyak, jadi saya akan sebut beberapa saja tanpa urutan. Ingin Jadi Pujangga oleh A. Samad Ismail, Catatan Latiff Mohidin, Sihir Hujan oleh Sapardi, Berlin Proposal oleh Afrizal, Kematian Makin Akrab oleh Subagio.

RIDHWAN

Bagaimana pula dengan buku-buku dari seluruh dunia? Ia mungkin boleh jadi pintu untuk orang lebih kenal anda atau barangkali mereka sendiri boleh jatuh suka dengan sastera.

AZRIQ

Abad ini ialah abad paling gemilang untuk buku sastera terjemahan di seluruh dunia. Walaupun buku terjemahan bahasa Melayu masih kurang, tetapi kita masih dapat meneroka sastera dunia melalui terjemahan bahasa Inggeris. Kerugian besar buat penulis yang malas membaca kerana anda tidak akan tahu sempadan penulisan selagi anda tidak melihat bagaimana orang lain mengubah atau melanggar sempadan ini. Jadi senarai saya adalah buku-buku yang asalnya bukan bahasa Inggeris, tetapi masih boleh dinikmati dalam bentuk terjemahan.

    1. Epitaph of Small Winner oleh Machado de Asis
    2. How I Became A Nun oleh Cesar Aira
    3. My Struggle oleh Karl Ove Knausgaard
    4. The Summer Book oleh Tove Jansson
    5. The Guest Cat oleh Takashi Hiraide
    6. Berlin Stories oleh Robert Walser
    7. The Conductor oleh Jean Ferry
    8. The Other Side oleh Alfred Kubin
    9. The End of Love oleh Marcos Giralt Torrente
    10. The Bathroom oleh Jean Philippe Touissant

RIDHWAN

Rata-rata semua yang disenaraikan boleh kita kategorikan dalam domain fiksyen, dan tanggapan rata-rata orang Malaysia tentang fiksyen masih lemah, semacam prejudis kerana mereka merasakan ia buat-buatan atau reka-rekaan, tak seperti buku non-fiksyen yang boleh menawarkan ilmu (antaranya) dan benar (lebih-lebih yang melibatkan sejarah). Bagaimana ini boleh berlaku agaknya? Buku-buku falsafah dunia tidak pernah lokek untuk diskas tentang fiksyen, puisi dan sastera, malah ada juga falsafah (dan lebih-lebih lagi hikmah) yang disampaikan secara fiksyen dan puitis.

AZRIQ

Kegilaan pada fakta, pemikiran, dan ilmu (maksudnya tulisan bukan fiksyen) berlaku secara meluas di zaman sekarang kerana manusia semakin bergantung pada ‘realiti semasa’ dan bukan realiti itu sendiri. Cuba lihat di dinding Facebook: sepanjang masa ada video ringkas tentang biografi, fakta sains, fakta sejarah, data-data luar biasa dll. Pengguna rasa mereka menjadi lebih pandai kerana sepanjang masa mereka mengumpul maklumat, sama seperti komputer menyimpan maklumat. Tetapi adakah mereka menggunakan maklumat ini? Adakah maklumat ini membantu mereka mengenali jiran atau orang dari bangsa lain? Paling penting: adakah mereka akan ingat maklumat ini? Kita terlalu taksub nak berada dalam realiti semasa sehingga kita makin menyimpang jauh dari realiti sebenar. Hal ini tidak berlaku dengan karya fiksyen yang bagus. Di permukaan, ya, fiksyen membawa kita ke dunia asing, tetapi dengan mendekati dunia asing itu, kita menjadi lebih peka terhadap dunia dan orang dalam kehidupan harian kita. Jadi di zaman sekarang, saya percaya, kita lebih memerlukan fiksyen sebenarnya.

RIDHWAN

Baik, mungkin sampai sini sesi interviu ini, ada amanat atau kata-kata penutup?

AZRIQ

Tak ada amanat. Bak kata Redza Minhat himself: “Each work is an opportunity to be sufficiently humble.”

Imbasan penuh: Binfilem

Naskah fizikal: RM7 HABIS