Ensembel Teater Kaos Nol

ENSEMBEL TEATER KAOS NOL is an open collective established by Ridhwan Saidi for theatre-making or art and theatre related activism by organising book reading and discussion, art and theatre related activity based in Kuala Lumpur.

IMG_0170IMG_1938IMG_3610IMG_0083

Ensembel Teater Kaos Nol ialah kolektif terbuka yang ditubuhkan Ridhwan Saidi bagi kerja-kerja pembikinan teater dan seni, seperti perbincangan buku, pesta keramaian dan aktiviti-aktiviti berjemaah lain, yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Dalam mengarah teater meskipun skrip ialah pemalar, tetapi apabila ia dikombinasikan dengan pembolehubah berbentuk pelakon dan ruang, setiap sesi pengarahan akan mempunyai dinamik berbeza.

Selain itu, hubungkait antara mereka yang berada di hadapan dan belakang tabir juga lebih cair dalam erti kata mereka yang jadi belakang tabir di satu projek menjadi performer di projek lain, dan sebaliknya. Keseimbangan depan–belakang ini biasanya terzahir secara simetri kuantitinya (contohnya dalam Teater Normcore: Double Bill, ada 4 orang di depan dan 4 orang di belakang tabir).

Ensembel Teater Kaos Nol mengelak dari mengikut acuan konvensional ‘theatre company’ dan lebih akrab dan organik dengan semangat ‘open collective’ dengan kehadiran frequent collaborator. Ia bukan tentang keahlian atau komitmen tetap, tetapi pabila semangat dan tenaga datang, kita bertemu dan bergabung bagi menggerakkan satu-satu projek dengan seluruh hati dan perasaan. Setakat ini tanpa physical space, Ensembel Teater Kaos Nol ialah jisim-jisim nomad.

Berikut merupakan foto-foto berkumpulan pra/pasca projek-projek pementasan (secara kronologi) dan juga yang berskala pesta sebagai bahan kenang-kenangan serta rujukan masa depan. Untuk maklumat yang lebih komprehensif, boleh klik pada gambar dan judul.

Past performances:

2018-02-10 19:48:23.425

1. Teater Normcore: Double Bill at RAW Art Space, a staging of two one-act plays: Tiada Cinta Selama Muda (No Love for the Young) and Matinya Seorang Birokrat (Death of a Bureaucrat), 9-11 February 2018. Durasi 70 minit dengan sari kata Inggeris. Debut pengarahan teater dalam skala penuh di sebuah galeri di ibukota. Ensembel Teater Kaos Nol bermula di sini. Dari poin ini ke belakang, Teater Modular menjadi sesi pembelajaran buat penulis sebelum berani membikin. Performer: Amirul Syakir, Adena Sams, Mia Sabrina Mahadir dan Roshafiq Roslee. Belakang tabir: Amirul Rahman, Ani Aziz, Nurul Aizam dan Ridhwan Saidi.

hotel berdarah

2. Hotel Berdarah (Bloody Hotel) in Teater Modular [set 3] at KongsiKL, 4-8 April 2018. Salah satu dari empat playlet yang dipentaskan. Durasi 30 minit dengan sari kata Inggeris. Performer: Rashid Akhmal, Tasha K., Shamnirul, Azman Rashid, Irfan Aziz dan Shasha Fairus. Sebuah playlet dengan dua orang memegang watak Dato’ secara bergilir-gilir.

IMG_1770

3. Pengantin, Freestyle! at Yayasan Sime Darby Arts Festival 2018, KLPAC, 18-19 August 2018. Durasi 23 minit. Pertama kali mengarah playlet di kawasan lapang dan terbuka; hari pertama mendung, hari kedua panas. Performer: Roshafiq Roslee, Ani Aziz, Shon Anwar, Nyna Roslan dan Nurul Aizam. Dokumentasi: Amirul Rahman.

IMG_3728

4. Teater Normcore: Stereo Genmai at Kotak@Five Arts Centre, TTDI, 19-21 October 2018.  Durasi 80 minit. Teater pertama dalam skala penuh, dan pertama kali mengarah di dalam black box. Performer: Ani Aziz, Nyna Roslan, Hannan Barakbah dan Sandee Chew. Belakang tabir: Nurul Aizam, Tan Cher Kian, Amirul Rahman, Fara Kafli dan Rashid Akhmal. Dalam pementasan ini Nurul Aizam turut menjadi suara via loudhailer selain bersama Fara Kafli menjadi korus untuk amplify secara manual adegan terakhir. Ini contoh kecairan di mana sempadan antara depan dan belakang tabir tidak rigid seperti hubungan profesional aktor-teknikal kebiasaan.

IMG_2850

5. Pesta Playlet 2019 at KongsiKL, 3-4 May 2019. Durasi 2 hari. Pesta pertama yang digarap bersama ramai kolaborator, panelis dan performer. Jika konvensi teater memerlukan audien beli tiket, dengan pesta playlet ia sebentuk amal jariah yang menawarkan bengkel (dengan sedikit bayaran komitmen), pameran, forum dan persembahan percuma dan terbuka buat rakyat jelata. Kurator bersama: Hannan Barakbah, Azrin Fauzi, Nurul Aizam dan Ridhwan Saidi. Belakang tabir antaranya Amirul Rahman, Tan Cher Kian dan Sam. Performer (untuk piece bawah Ensembel Teater Kaos Nol iaitu Teater Modular Reading Session, Kisah Lelaki yang Dapat Pencerahan Setelah Kasutnya Dicuri di Masjid pada Suatu Petang, Laut Api: hikayat_hang_tuah.zip, Logamaya dan Touched With Fire): Lew Shu Ni, Tasha K., Mia Sabrina Mahadir, Rashid Akhmal, Tan Cher Kian, Farez Najid, Roshafiq Roslee, Nyna Roslan, Sadiq M. Jamil, Mucky, Azrin Fauzi, Amirul Rahman, dan Shamnirul.

BSDJ7523

6. Teater Normcore: Double Bill at George Town Festival 2019, a staging of two one-act plays: Retak Menanti Belah (Cracking, Splitting) and Matinya Seorang Birokrat (Death of a Bureaucrat), Bangunan U.A.B., 23-24 July 2019. Durasi 70 minit dengan sari kata Inggeris. Salah satu play merupakan direction kali kedua, tetapi ia menjadi berbeza apabila kombinasi pelakonnya berbeza ditambah pula di ruang yang berbeza. Pementasan pertama di luar Lembah Klang. Performer: Rashid Akhmal, Ani Aziz, Mia Sabrina Mahadir dan Tasha K. Belakang tabir: Amirul Rahman, Tan Cher Kian, Nurul Aizam dan Ridhwan Saidi.

IMG_20190810_192528

7. Teater Normcore: Hamlet Fansuri X Port25 X Kicau Bilau at PortCommune, Petaling Jaya, 23-25 August 2019. Durasi 80 minit. Teks terjemahan pertama yang dipentaskan dengan dua bahagian: Ophilia Maldoror dan Hamlet Fansuri. Performer (mewakili Ensembel Teater Kaos Nol): Roshafiq Roslee, Shon Anwar, Nyna Roslan, Rashid Akhmal, Mira Romanli, Tasha K., Lew Shu Ni dan Nurul Aizam. Terjemahan dan arahan Ridhwan Saidi.

KPVQ8014

8. Teater Normcore: Stereo Genmai at Urbanscapes 2019 as part of Teater : Theatre @ URBN.SENI double bill. Durasi 50 minit dengan sari kata Inggeris. Tidak seperti pementasan penuh terdahulu di tahun 2018, kali ini ia merupakan sebahagian daripada double bill, maka suatu pemadatan perlu dibuat. Struktur cerita difragmenkan dengan ruang-ruang di antaranya menjadi sesi soal jawab bersama penulis naskah. Lapisan metafiksyen dibuka ke lapisan realiti. Distancing effect ini walau bagaimanapun digunakan agar kita lebih meyakini kewujudan alam fiksyen dan advencer yang dilalui karakter bernama K.M. Raslan. Performer: Ani Aziz, Hannan Barakbah, Tasha K. dan Mira Romanli. Tulisan dan arahan Ridhwan Saidi.

IMG_0064

9. Teater Normcore: Masam Manis at KongsiKL, 12-15 March 2020. Durasi 70 minit dengan sari kata Inggeris. Diinspirasi filem Masam-Masam Manis (1965) oleh P. Ramlee, latar jiran yang tidak saling kenal ini dibawa ke hubungan kontemporari hari ini di mana teknologi dan app cari jodoh sudah intrude ke dalam hubungan percintaan di kalangan manusia. Jika dahulu kala perkahwinan diatur keluarga, hari ini percintaan diatur oleh pemilik tubuh dalam memenuhi jangkaan dan ilusi yang serupa. Performer: Sadiq M. Jamil, Lew Shu Ni dan Mia Sabrina Mahadir. Tulisan dan arahan Ridhwan Saidi.

Work in progress:

Teater Normcore: Odisi Romansa
Teater Normcore: Ratna Medea
Teater Normcore: Malam Elektrik

Ridhwan Saidi

P/s: Entri ini akan di-update dari semasa ke semasa.

Muzik Dalam Novel-Novel Ridhwan Saidi, Satu Kajian Teoritikal

novel rs

https://open.spotify.com/embed/user/12142618580/playlist/44SyEjOfAiyROqidaETWdZ

CEKIK (2011)
Yuna – Decorate

AMERIKA (2011)
The Beatles – Strawberry Fields Forever
Misha Omar – Nafas Cahaya
The Smiths – There is a Light That Never Goes Out
The Stone Roses – Breaking Into Heaven
Nina Simone – Mood Indigo
Talking Heads live (tak disebut lagu apa)
Patti Smith – People Have the Power
Express Rising/Dante Carfagna (tak disebut lagu apa)
New Order – Love Less
Coralie Clement – Kids
Peter Tosh (tak disebut lagu apa)
Gombloh – Hong Wilaheng
Beethoven – Fur Elise

MAUTOPIA (2012)
Air – Virgin Suicides (tiada dalam novel, tetapi ditulis dengan album ini sentiasa terpasang)

STEREO GENMAI (2012)
Saloma – Sukiyaki
The Pain of Being Pure At Heart (tak disebut lagu apa)
Youth Group (tak disebut lagu apa)
Nirvana – Smells Like Teen Spirit, Lithium & Dumb

BABYRINA (2014)
Celine Dion – La Voix Du Bon Dieu
Siouxsie and the Banshees – Superstitions

BRAZIL (2015)
Pearls Negras – Make It Last
Michael Jackson – They Don’t Care About Us (lebih kepada videoklip dan bukan muzik)
Elvin Bishop – Fooled Around and Fell in Love

Salam dan selamat malam! Selain menulis novel dan bikin teater, you juga ada membikin filem pendek. Boleh senaraikan filem-filem pendek yang telah you hasilkan untuk rujukan bersama? – Irene Baginda, instagram

Selamat siang! Dah lama saya tak senaraikan filem-filem pendek saya, la ni setelah dikira ada 20 lebih! Ada beberapa yang tidak termasuk di dalam senarai, antaranya sebab fail sudah hilang atau ia dibuat secara spesifik untuk youtube seperti Bual Santai Sebelum Bola (2017) atau ia terlalu experimental seperti Bloom (2008) dan Blindspot (2008) antaranya. Hampir semua filem ini telah ditayangkan sepanjang tahun lepas, dalam siri Retrospektif Binfilem: Monokrom dan Spektrum, selain tayangan Ridhwan Saidi Collected Shorts di Ilham Gallery. Tanpa berlengah, ini senarai filem-filem saya ikut tahun dan kronologi:

Ah Long (2008) 3 min2008 ah longFilem pertama yang saya bikin setelah menemui butang rekod pada sebuah kamera prosumer. Ia dibikin seorang diri. Pengaruh ketara, Maya Deren. Bilik ini di mana saya tinggal dan akan menjadi latar dalam novel AMERIKA (2011).

Cekik (2008) 3 min2008 cekikFilem kedua yang saya bikin cuma kali ini tidak lagi berseorangan. Ia Ah Long yang dibuat kembali, cuma kali ini tidak menggunakan tali pinggang, sebaliknya menggunakan tangan dan kaki. Kaki, Nurul Aizam; tangan, Ridhwan Saidi.

Anak Bumi (2009) 10 minAnak Bumi stillSebuah video experimental, dua gadis bertemu dan melilit menjadi satu. Ada beberapa video experimental sebelum sampai ke sini. Teknik-teknik yang saya pelajari dalam memahami mesin suntingan. Lakonan Anna Danielle D’Costa dan Nadrah Mustafa.

Kaki Lima (2009) 14 min2009 kaki limaFilem pendek yang dirakam sepanjang Jalan Melayu (lama kemudian baru saya tahu jalan ini merupakan jalan pertama di Kuala Lumpur). Lakonan Hariry Jalil, Amerul Affendi dan Zahiril Adzim. Pengaruh ketara, Man Bites Dog (1992). Ia dirakam long take, dan kita buat tiga kali. Ini merupakan filem pertama saya selaku pelajar di fakulti perfileman.

Mautopia (2009) 11 minMautopia stillFilem pendek yang menggunakan teknik green screen lakonan Fazleena Hishamuddin dan Nadrah Mustafa. Merakam dalam gelap, tanpa cahaya. Ini filem kedua selaku pelajar dan seperti Kaki Lima, ia dibikin suka-suka. Kerana pada ketika itu ada sesi tayangan filem pelajar pada malam Rabu, setiap semester di studio Panca Delima. Naratif metafiksyen persis ouroboros ini akan dimanifestasikan sekali lagi dalam bentuk kata-kata dengan novel STEREO GENMAI (2011).

Jiwa Kota (2010) 14 min2010 jiwa kotaSebuah dokumentari tentang arsitektur kota dan khususnya Putrajaya. Subjek, Hishamuddin Rais, turut mendapat fokus haiwan-haiwan peliharaannya. Sesi interviu ditemani Fasyali Fadzly.

Cinta Cokelat (2010) 9 min2010 cinta cokelatSatu-satunya filem yang dibuat untuk kelas dan kemudian diharamkan. Lakonan Fazleena Hishamuddin, Suraya Jermadi dan Mama Afzan. Syot dari atas itu, saya dapat inspirasi dari Coffee and Cigarettes (2003) Jim Jarmusch. Sepertimana Cekik ialah remake Ah Long, Cinta Cokelat ialah remake Kaki Lima. Bukan lagi tiga orang lelaki di jalanan, kali ini tiga orang perempuan di kedai koboi. Suatu keintiman terjadi. Satu-satunya filpen yang dibikin dengan monitor, di mana saya sebagai pengarah boleh susun dan compose imej di skrin.

Perempuan, Hantu & Skandal (2010) 18 minPHS stillFilem pendek tentang misteri pembunuhan seorang perempuan dengan gaya sensasi Melodi. Wartawan, Suraya Jermadi; Hantu-hantu, Amerul Affendi, Harith Hamshah, Ayam Fared dan Fazleena Hishamuddin. Ia menggunakan elemen teater di mana saya mahu hanya karakter-karakter bercakap dan bercerita. Suntingan dan juxtaposisi akan escalate ia ke adegan terakhir. Pengaruh ketara Rashomon (1950) Akira Kurosawa. Filpen dengan rekaan bunyi yang paling kompleks. Seluruh filpen ini bergerak umpama arrangement atau komposisi muzik.

Arcade and Cigarette (2011) 9 minArcade and Cigarette stillFilem yang digarap dari salah satu adegan dalam novel CEKIK (2011). Lakonan Ermi Iryana antaranya, berserta adik dan kawan-kawannya yang baru tamat persekolahan. Jika di dalam novel ia melibatkan tiga perempuan dan seorang lelaki, di dalam versi filem ini ia tiga lelaki dan seorang perempuan. Mereka tonton pornografi dan dengar azan berkumandang dan tiada apa berlaku, cuma isi masa senggang di waktu terluang ketika ponteng sekolah.

Matari Miami (2011) 18 minMatari Miami stillVideo esei perjalanan ke Miami, Florida, dengan tayangan penuh filem pendek Skodeng: Kebenaran Yang Nakal (2010) di dalamnya. Antara elemen yang akan muncul di dalam novel AMERIKA (2011), sebagai asas memori selain resit.

Kasturi (2011) 7 minKasturi stillFilem purbawara moden yang menghubungkan bedtime story dengan kisah Tuah-Jebat/Kasturi. Melibatkan lakonan ramai orang antaranya Sherie Merlis, Hariry Jalil, K’n Ridzuan, Mohd Khusairi termasuk pelakon kanak-kanak berserta tujuh penari. Rakaman dalam studio dilakukan di Stor Teater DBP. Teknik diorama terilham apabila kami melakukan site visit ke sebuah muzium di Melaka. Pembikin model istana Nurul Aizam, Fasyali Fadzly dan saya.

Broga Rendezvous (2011) 8 minBroga Rendezvous stillFilem yang muncul ketika Instagram sedang hip, maka warnanya dibikin sebegitu rupa. Lakonan, Ermi Iryana, Fasyali Fadzly, Raja Susrina dan Mohd Al Muzzir. Filem ini dibuat seminggu selepas Kasturi yang telah mendapat dana Finas, untuk counter-balance bahawa filem juga boleh dibuat tanpa dana yang besar, dan dalam kes ini RM500. Ditayangkan di Malaysian Shorts. Sebuah filpen tentang romansa dan nostalgia.

Tutop Lobang (2012) 6 min2012 tutop lobangFilem yang dibuat untuk pertandingan dalam masa 48 jam. Lakonan tiga orang kawan adik (juga baru tamat persekolahan). Filem ketiga yang melibatkan kes pembunuhan di Puncak Alam selepas Mautopia dan Perempuan, Hantu & Skandal, barangkali kerana isu ini belum selesai dan semangatnya masih terbakar di sekitar kawasan saya tinggal ini. Sesungguhnya pengkarya, dan semangat habitat dan persekitarannya tidak boleh diasingkan.

Z (2012) 6 minZ stillFilem yang dibikin tanpa kamera, menggunakan found footage dari youtube iaitu video perhimpunan UMNO ke 66 dan petikan dari filem Sembilu dan Maria Mariana antaranya. Makna baru diberi via split-screen. Saya dapat idea untuk buat filem tanpa kamera ini dari teknik photogram Man Ray. Pengaruh ketara, Chelsea Girls (1966) Andy Warhol.

Sesudah Suboh (2013) 9 minSesudah Suboh stillFilem yang menggunakan still film dalam menyampaikan cerita berasaskan cerpen Haruki Murakami (adaptasi longgar). Lakonan Nadia Brian dan Al Hafiz Burhanuddin. Ketika ini saya banyak menonton filem-filem Jean Rollin dan kerana itu ada nuansa gothik. Selain itu pemilihan kedai sushi adalah kerana saya ingin cuba adegan dari novel STEREO GENMAI (2011), selain adegan tonton wayang. Filem 16mm juga digunakan ketika penggambaran tetapi semua filem hitam/burn selepas dicuci. Ideanya futej ini akan digunakan di hujung filem dengan watak Gadis dan Pemuda menari dan bergerak, persis petikan filem yang mereka tonton di pawagam. Mereka dari still menjadi movie. Pengaruh ketara, sudah tentu La Jetee (1962) Chris Marker.

Ramadan in Rio (2015) 6 minRamadan in Rio stillVideo esei dengan imej-imej still sewaktu di Rio di Janeiro, Brazil. Seperti Z, saya gunakan split-screen / diptych untuk imej still, supaya ia persis menyelak buku foto. Foto-foto analog 35mm rakaman saya manakala rakaman video oleh Nurul Aizam.

The Harlot, The Client, His Wife, Her Lover (2015) 5 min2015 the harlotFilem yang dibuat untuk kesedaran HIV, lakonan Ermi Iryana, Ares Bahar, Zara Suryani dan Adib Shahreen. Pada ketika ini saya banyak tonton filem-filem Luis Bunuel dan Aki Kaurismaki. Tak hanya teknik lakonan, malah dari segi cerita, unsur humor yang kering ini cocok dengan teknik lakonan sebegini. Saya rasa saya boleh handle bentuk ini, yang ada saya terapkan di dalam penulisan teater.

Lunch Time (2015) 5 min2015 lunch timeFilem kedua yang dibuat untuk kesedaran HIV, lakonan Nazim Masnawi, Ares Bahar, Hafiz Sahhudi dan Walid Ali. Sepertimana Broga Rendezvous seminggu selepas Kasturi, Lunch Time seminggu selepas The Harlot. Jika The Harlot bajetnya RM500, Lunch Time sifar bajet. Masih bergelumang dengan elemen MLM seperti Kaki Lima dan Cinta Cokelat, kali ini ia HIV yang mahu diviralkan.

Roti Tisu: Atau Sebuah Filem Tentang Kiamat (2016) 10 min2016 roti tisuFilem yang dibuat sempena ulang tahun komuniti Wayang Budiman. Lakonan Walid Ali, Fazleena Hishamuddin, Ani Aziz, Ermi Iryana dan Hery Harith. Saya masih ingat saya baru lepas menonton filem Satantango (1994) Bela Tarr, jadi seperti Kaki Lima, ia long take, dan kita buat tiga take. Filem penuh air mata.

Empu (2017) 5 minEmpu stillFilem yang dibikin secara impromptu tentang makna kata akar perempuan. Lakonan Mia Sabrina Mahadir dan Fara Kafli dengan Nurul Aizam sebagai perakam audio. Filem ini saya bikin untuk hubungkan koleksi filem pendek berwarna dan hitam putih saya selepas beberapa siri tayangan Retrospektif Binfilem: Monokrom dan Spektrum. Bagaimana jika dunia berwarna memimpikan adegan hitam putih, manakala dunia hitam putih memimpikan adegan berwarna? Kata akar perempuan ini diceritakan kepada saya oleh seorang feminis sewaktu di Makassar yang saya guna kembali di dalam filpen ini. Ada yang sangka makna kata ‘empu’ ini saya reka, tapi sebenarnya ia ada dalam kamus.

Misteri Atas Meja (2018) 6 minMisteri Atas Meja stillFilpen yang dibikin untuk Temasya Wayang Budiman, tanpa skrip, cuma improvisasi barang-barang yang terletak di atas meja. Diceritakan saya, dengan pencahayaan oleh Nurul Aizam. Sebuah murder mystery dalam skala objek seharian. Diinspirasi table top theatre Forced Entertainment. Saya yang tak merokok perlu merokok untuk beri efek asap pada adegan cerita.

Sisa Binasa (2019) 6 minSisa Binasa stillSebuah lagi filem yang dibikin untuk Temasya Wayang Budiman dengan tema purbawara, tetapi ia turut dihantar ke FiTA Wave Awards 2019 dan telah memenangi tempat pertama, syukur! Lakonan oleh mereka yang rata-rata belum pernah berlakon antaranya Ali Aiman Mazuin, Tasha K., Fariq Khir, Jasad Bersiong dan Rashid Akhmal, dengan penampilan istimewa Adam Taufiq Suharto. Kerja kamera pertama bersama Amirul Rahman.

Sesuap Kaseh (2020) 15 minSesuap Kaseh stillFilpen adaptasi dari naskah teater Sesuap Kaseh, dari siri Teater Modular. Jika sebelum ini saya ada cuba menerapkan elemen teatrikal ke dalam filpen, kali ini saya ingin menerapkan elemen sinematik ke atas dialog dan kata-kata naskah teater. Lakonan Agathian Muniappan dan Mia Sabrina Mahadir dengan penampilan istimewa kucing Sungai Gabai. Jika sewaktu menulis playlet ini ia diinspirasi dari filem Chinta Kaseh Sayang (1965) oleh Hussain Haniff, filpen ini digarap dengan inspirasi filem Gerimis (1968) oleh P. Ramlee. Jika Sesudah Suboh memancarkan apresiasi saya terhadap sinema Eropah, filpen ini pancarkan apresiasi saya terhadap filem-filem Melayu era studio.

– Ridhwan Saidi

Album muzik yang abang Ridhwan suka? – Fiona Fluoresen, tumblr

Senarai ini apa yang sempat saya fikir, terutama kesukaan saya terhadap seluruh pengalaman album itu. Sebab kadang-kala saya suka beberapa lagu, tetapi tak begitu minat bagaimana seluruh album itu disusun.

Pilihan ini merangkumi album dan ada satu EP terselit. Ia disusun secara kronologi dari yang paling awal muncul hingga yang terkemudian. Ia tiada kena mengena dengan kronologi bila saya dengar album-album ini. Sebagai contoh la ni saya sedang layan Ascension (1966) selepas mendengar Giant Steps (1960) oleh John Coltrane. Tetapi album seperti Real Life (1978) antara album terawal yang saya dengar betul-betul (terima kasih kepada internet), dan saya masih ingat saya dengar ia sekali dengan Marquee Moon (1977) oleh Television. Giant Steps dan Marquee Moon ini sendiri album yang hebat, tetapi oleh kerana saya perlu pilih, saya akan pilih ikut suka.

Dari segi diskografi pemuzik-pemuzik ini, biasanya saya dengar seluruh body of work mereka (kecuali John Coltrane yang masih saya pelan-pelan kayuh, ada album yang belum dilayan.) Untuk My Bloody Valentine saya cuma dah dengar tiga atau empat EP mereka. Loveless (1991) sampai la ni saya tak boleh masuk. Velvet Underground, Lou Reed, David Bowie, Brian Eno, Cocteau Twins pula dah dikhatamkan, alhamdulillah. Lagi dua album Magazine masih belum berkesempatan dengar walau bagaimanapun.

10 album + 1 EP ini saya pilih juga dengan niat yang saya akan revisit untuk ulang dengar lagi di masa depan, atau jika berduit ingin simpan versi fizikal. Selain itu, pilihan ini saya pilih sebab saya rasa ia tak terlalu obvious menjadi pilihan yang dikongsi orang ramai. Sebagai contoh saya tak bubuh The Dark Side of The Moon (1973) oleh Pink Floyd. Kalau Sonic Youth saya suka album Washing Machine (1995), tapi saya rasa saya tak perlu sebutkan dalam senarai. Begitu juga halnya dengan Homogenic (1997) oleh Bjork. Saya suka Telex, tapi tak pula saya tahu nak pilih album mana. Tiada album dari Malaysia, sebab saya tak pasti nak pilih album apa. Sebagai lagu ada saja yang saya suka, tapi sebagai album, susah untuk saya buat keputusan. Saya was-was. Jadi tanpa berlengah ini pilihan album kegemaran saya, buat masa ini, dan sudah tentu ia akan berubah bila ditanya lagi di masa hadapan.

coltrane love supremecoltrane ascension

A Love Supreme (1964) / Ascension (1966) – John Coltrane

Saya tak fasih dan dengar muzik jazz sangat, tapi pintu yang buka saya ke arah ini ialah Miles Davis dan John Coltrane. Saya dengar dua-dua dan entah kenapa saya rasa dekat dengan John Coltrane. Ia macam tepat dan ganas, cara muzik ini dimainkan. Ia berat dan penuh. Selain Giant Steps saya juga dengar Blue Train (1958) sekali dalam proses meneroka daerah jazz ini. Dan bila difikirkan empat album John Coltrane yang saya dah dengar Blue Train, Giant Steps, A Love Supreme dan Ascension ini super solid sebagai album. Saya pilih dua yang terakhir ini, sebab ia sedang dan kerap saya ulang dengar. Dan saya tak sabar untuk dengar album-album lain!

velvet white light white heatvelvet underground

White Light/White Heat (1968) / The Velvet Underground (1969) – The Velvet Underground

Semua yang minat muzik mesti dah dengar The Velvet Underground, cuma di luar kerangka ini, masih ada ramai, dan terutama dalam konteks Malaysia, rasanya ada berjuta orang yang belum dengar muzik dari kugiran ini. Ia sedikit menyedihkan kalau ada di kalangan penulis/pembikin filem/penggiat teater yang tak dengar dua album ini, + termasuk yang kaver pisang bersama Nico sekali jika mahu. Ia tender, lucu, kasar, gelap, dari Candy Says/After Hours ke Venus In Furs/Sister Ray! Ia mengubah cara kita mendengar.

lou reed berlin

Berlin (1973) – Lou Reed

Saya sedang hadam perlahan-lahan album ini dan ia makin lama makin berkesan buat saya. Ia rasa pedih dan dalam.

bowie ziggybowie low

The Rise and Fall of Ziggy Stardust (1972) / Low (1977) – David Bowie

Kegemaran sepanjang masa. Ketika pertama kali dengar Low, ia buat saya betul-betul kagum, saya dapat nampak dunia yang digambarkan via muzik. Dan gambaran-gambaran ini berbentuk emosi. Ia malah terasa ada cerita, meski tanpa kata-kata. Dalam The Rise and Fall of Ziggy Stardust pula ia ketara bahawa David Bowie ialah seorang storyteller. Sedap mendengar suara arwah bercerita.

magazine real life

Real Life (1978) – Magazine

Saya begitu gemar lagu-lagu dalam album ini, malah saya pernah guna lagu Motocade untuk filem pendek Mautopia (2011). Ia ada nuansa video game Sega (yang akan muncul di era 90an), trek-trek seperti Definitive Gaze (rentak Sonic the Hedgehog diambil dari lagu ini?), My Tulpa, Parade. Ia terasa ada urgency tetapi dalam masa sama rasa lucu.

eno apollo

Apollo: Atmospheres and Soundtracks (1983) – Brian Eno

Kita boleh saja masukkan Another Green World (1975), tapi entah kenapa saya dekat dengan album ini. Ia beri saya ruang untuk merasa angkasa lepas, dengan planet bumi semakin mengecil dan ditelan zat hitam semesta. Dengan petikan gitar koboi Amerikana Deep Blue Day sebagai bekal nostalgia yang dibawa ke angkasa, seraya cahaya bintang/matahari terbit di jendela roket.

cocteau twins heaven or las vegasbloody valentine glider

Heaven or Las Vegas (1990) – Cocteau Twins / Glider (1990) – My Bloody Valentine

Jika Apollo: Atmospheres and Soundtracks bawa kita ke angkasa dan Low bawa kita ke terrain asing, Heaven or Las Vegas dan Glider akan bawa kita ke alam mimpi/nyata dengan suara malaikat/manusia.

– Ridhwan Saidi

Aku ikuti tulisan kau pasal filem sejak 10 tahun yang lalu dan aku dapati sejak akhir-akhir ini, kau telah mengkhianati dunia filem dengan menceburkan diri dalam pembikinan teater. Ini buat aku tertanya, ada tak filem-filem yang dah kau tonton, buat kau ingat teater? – Ismail Partogi, whatsapp

Terima kasih kerana mengikuti tulisan saya. Ada beberapa filem yang buat saya ingatkan teater. Ada dari zaman dulu di waktu saya belum akrab dengan teater, yang mana bila saya tonton filem itu, ia buat saya terfikirkan (secara naif) medium teater. Dan ada juga pilihan filem saya yang lebih literal tentang teater, sama ada ia sebahagian naratif atau naskah asalnya telah dipentaskan sebagai teater terlebih dulu. Seperti semua senarai, ia akan berubah jika saya ditanya soalan yang sama di waktu lain. Tetapi buat masa ini, ini filem-filem yang boleh saya ingat:

James Stewart - rear window - & Grace Kelly

REAR WINDOW (1954) Alfred Hitchcock

Rekaan set filem ini iaitu pemandangan yang akan ditatap oleh protagonis patah kaki kita, mengingatkan saya kepada set teater. Ini filem asas wajib tonton bagi penggemar filem, cuma saya musykil adakah penggiat teater juga tonton filem ini?

kwaidan.jpeg

KWAIDAN (1964)

Antara DVD terawal yang saya beli, sewaktu itu saya tertarik dengan kavernya, tetapi tidak saya sangka yang ia akan efek cara saya berfikir, menulis, mengolah cahaya dan bermain muzik. Malah syot atas ini baru saya sedari dari mana saya dapat imej dalam novel Stereo Genmai. Selama ini saya cuma nampak ada mata di langit, dan rupanya ia secara bawah sedar dari filem ini. Ia sebuah filem dengan rekaan set dalam studio. Ia membuka diri saya kepada sinema.

marat sade

MARAT/SADE (1967) Peter Brook

Ia filem paling karib dengan teater dalam senarai ini, di mana ia diarahkan oleh penulis buku penting The Empty Space (1968), selain sebelum itu telah dipentaskan sebagai teater dan diarahkan oleh Peter Brook. Jadi di sini kita dapat seorang pengarah menggunakan dua medium: filem dan teater. Selain sebagai karya filem, ia juga berkesan sebagai sebuah dokumentasi. Malah perasaan saya apabila menonton filem ini, selain ingin mengikuti ceritanya, turut bercampur dengan perasaan: oh, inilah perasaannya waktu versi teater dipentaskan satu ketika dulu. Dan oleh kerana ia medium filem, penonton dapat duduk dekat dan malah berada di dalam ruang lakon. Paparan-paparan ini berlingkar di mana Peter Brook mahu kita tengok.

Nicolas-Jaar-Pomegranates.jpg

THE COLOR OF POMEGRANATES (1968) Sergei Parajanov

Rata-rata komposisi filem ini seperti painting, tetapi oleh kerana ia live-action, ia mengingatkan saya kepada teater. Mereka yang di dalam bingkai sedang mempersembahkan sesuatu kepada kita, penonton.

palupi

APA JANG KAU TJARI, PALUPI? (1969) Asrul Sani

Ada watak sampingan iaitu suami Palupi, yang merupakan seorang penggiat teater. Kita dapat lihat sesi latihan dan post-mortem, seingat saya. Sosok seniman/penggiat teater ini kelihatan lebih keras berbanding rakannya seorang pengarah filem. Adakah filem memerlukan kelembutan?

Bitteren Tranen Der Petra Von Kant, Die /Bitter Tears Of... / Bitter Tears Of Petra Von Kant, The

THE BITTER TEARS OF PETRA VON KANT (1972) Rainer Werner Fassbinder

Seperti Marat/Sade (1967) filem ini bermula sebagai naskah teater oleh penulis/pengarah yang sama. Dalam filem ada istilah ‘chamber piece’ di mana ia terhad dari segi ruang, seperti cuma satu ruang misalnya. Traits ini mendekati teater kerana ia beri kita idea berada dalam real-time. Untuk setiap adegan, drama berlaku selari dengan waktu sebenar. (Rear Window (1954) secara tak langsung merupakan chamber piece tapi dalam skala hidup berjiran. Untuk terhad kepada satu isi apartmen, Hitchcock ada filem Rope (1948) yang telah dibikin sebelum itu.) Seperkara yang saya dapati dari filem Fassbinder ini, dialognya brutal, ia persis menikam dengan kata-kata.

gena-gloria-portraitjpeg-8fbe5a13c5fc722f

OPENING NIGHT (1977) John Cassavetes

Seperti Apa Jang Kau Tjari Palupi? (1969), filem ini melibatkan produksi teater sebagai sebahagian naratif. Watak utama kita seorang pelakon. Filem ini memaparkan ketegangan yang belum pernah saya bayangkan dalam membikin satu-satu teater—ketika malam pembukaan!

AFTER-THE-REHEARSAL

AFTER THE REHEARSAL (1984) Ingmar Bergman

Tadi sudah saya sebut tentang chamber piece dan ini juga merupakan salah satu daripadanya. Malah situasi chamber piece ini banyak diasosiasikan dengan cara pengarahan Bergman. Telefilem ini cuma ada tiga pelakon, dan berlangsung di waktu lewat malam apabila seorang pelakon bertemu dengan penulis/pengarah yang sedang tertidur di set, pasca latihan. Walaupun asas cerita dan setnya begitu teater tetapi ia juga menyedarkan saya bahawa ia amat filem. Seperti Kwaidan (1964), filem ini membuka diri saya kepada sinema—dan dengan mengenali sinema, secara tidak langsung saya semakin mendekati dan mengenali apa itu teater.

– Ridhwan Saidi

Ada filem yang saudara gemar, jika ada boleh tahu kenapa? – Flores Chin, Twitter

Ada banyak dan setiap hari saya sentiasa menemui filem-filem baru yang hebat, tetapi enam filem yang saya pilih ini semacam ada sesuatu yang lekat dengan saya, dan barangkali juga sengaja saya pilih filem-filem ini dari daerah berbeza, selain saya rasa ia kurang ditonton oleh ramai orang. Pilihan ini agak spontan, tapi jika ditanya sekali lagi di masa hadapan, sudah tentu jawapan saya akan bertukar.

Bresson_Man-Escaped_004

A MAN ESCAPED (1956) oleh Robert Bresson

Terkunci di dalam atau terkurung di luar, ia dekat dengan saya situasi untuk melarikan diri ini, dalam kes ini, keluar lari dari kem tentera Nazi, tetapi keluar untuk masuk ke dalam malam, ke dalam ruang gelap sinema. Salah satu filem kegemaran sepanjang zaman. Saya tonton filem ini lama selepas Stereo Genmai, dan ia buat perasaan saya berputik kembali dengan nuansa malam, gelap dan sepi ini, yang saya pasti setiap orang pun akan mengalaminya.

chinta kaseh sayang

CHINTA KASEH SAYANG (1965) oleh Hussein Haniff

Filem Melayu yang paling banyak saya ulangtonton—filem Melayu kegemaran saya. Momen Latifah Omar di stesen keretapi antara momen yang sentiasa menggerakkan. Suntingan filem sebagai bahasa yang jarang kita temui dalam semua filem Malaysia hari ini. Pendek kata rata-rata filem Malaysia tak faham bahasa. Namakan saya satu filem Malaysia yang bagus dan saya berani jamin kefasihan suntingannya dalam bercerita tidak pernah sebaik air tangan Hussein Haniff.

the crazy family.png

THE CRAZY FAMILY (1984) oleh Sōgo Ishii

Filem ini sudah lama saya tonton, tapi entah kenapa ia ada unsur humor yang masih saya ingat sampai sekarang. Saya suspek ia boleh resonates dengan situasi kehidupan berkeluarga di Malaysia hari ini. Babak ingin pulang ofis dengan cepat dengan syot lari dalam komuter cukup lucu. Nuansa histerikal jarang diteroka dalam karya-karya di Malaysia, sesuatu yang saya rasa ada potensi.

simon of the desert

SIMON OF THE DESERT (1965) oleh Luis Bunuel

Satu lagi filem yang lucu dengan adegan penamat yang hebat. Kependekan durasinya iaitu 45 minit tak mengubah perasaan saya apabila menikmatinya. Benar, Bunuel ada banyak filem lain yang kuat dan hebat seperti THE EXTERMINATING ANGEL (1962) antaranya, tapi yang ini memang keras. Ia mengingatkan perasaan saya ketika menulis novel Cekik.

manila in the claws of light

MANILA IN THE CLAWS OF LIGHT (1975) oleh Lino Brocka

Filem yang telah beberapa kali diulangtonton dan seperti CHINTA KASEH SAYANG, untuk setiap kali ulang ada benda baru yang saya dapat. Saya dapat rasa semangat kota Manila yang kuat, dan terfikir jika ada filem tempatan yang boleh tangkap semangat Kuala Lumpur sekuat ini.

sunrise-song-of-two-humans

SUNRISE: A SONG OF TWO HUMANS (1927) oleh F. W. Murnau

Naratifnya serupa seperti MANILA IN THE CLAWS OF LIGHT di mana kejahatan datang dari kota dan merosakkan anak gadis kampung, dan dalam kes ini ingin berkomplot membunuh isteri di kampung kepada suami yang curang. Ia ciri-ciri yang biasa kita temui dalam karya-karya lokal tidak kira novel mahupun filem, tetapi ia masih boleh diterima. Saya benci karya yang mendakwahkan bahawa kebaikan cuma berada di kampung, manakala kejahatan sentiasa di bandar, tetapi ia berkesan untuk dua filem ini. Malah bagi SUNRISE, cinta antara suami isteri itu berputik kembali di kota. Ia melangkaui cara penyampaian didaktik kita yang cenderung malas, tidak bijak dan meraikan kebebalan. Ini belum saya sentuh tentang penggunaan teknologi dan skil yang digunapakai dalam filem ini, yang membuatkan kita ketinggalan jauh, dan ini bukan teknologi dan skil semata, tapi apa yang boleh ia beri, iaitu kekuatan imej itu sendiri.

– Ridhwan Saidi

Boleh saya tahu dewasa ini saudara Ridhwan suka makan di mana, selain dari masakan rumah? – Roy Osmera, snail mail

Dewasa ini ada beberapa tempat yang saya kerap makan atau jika ada waktu, saya akan singgah untuk makan bagi meraikan sesuatu. Sudah tentu bila kita gembira, kita tak mahu kegembiraan itu pudar dengan memakan makanan yang belum tentu kesedapannya. Dan kadang-kala bila bersedih, penting juga untuk kita makan makanan yang sedap untuk menaikkan spirit kita. Mungkin ia tidak akan berkesan secara langsung, tetapi pokoknya kita perlu tahu untuk makan apa di waktu yang bagaimana.

Kesedapan perlu muncul tanpa disangka, jadi ideanya saya tidak akan menjadikan tempat-tempat makan ini sebagai rutin, kerana ada beberapa lagi tempat yang saya gemar pergi. Lima yang saya pilih ini barangkali sebab ia ruang yang kerap saya lalu dewasa ini.

Sebagai konteks saya tinggal di Alam Budiman, ia terletak di sebelah UiTM Puncak Perdana, dan juga berdekatan lokasi di mana Altantuya Shaariibuu diletupkan dengan C4. Jika menuju ke belakang kita terus sampai ke Puncak Alam di mana Sufian Abas tinggal, jika belok kanan sebelum itu, kita akan sampai ke Saujana Utama di mana Saat Omar tinggal, dan jika belok kiri sebelum itu lagi kita akan sampai Meru di mana Mohd Azmen tinggal. Jika kita berpatah ke hadapan kita akan sampai stadium Shah Alam tetapi sebelum itu kalau belok kanan kita akan masuk Bukit Jelutong di mana Roshafiq Roslee tinggal dan kalau belok kiri pula kita akan masuk TTDI Jaya di mana M. Faiz Syahmi (pernah) tinggal. Sebelum semua itu kita juga boleh ke kiri untuk ke Kota Damansara atau Kelana Jaya melalui Subang. Siapa tinggal di situ? Tak perlulah saya namakan di sini.

1. Vanggey, Kampung Attap

Bila ada waktu ke Kuala Lumpur di waktu siang, saya cenderung untuk makan nasi dengan ayam merah dan sambal kelapa di sini. Ia tenang dan tak ada orang, jadi saya selesa untuk makan tanpa ada perasaan stress. Saya tiada niat mahu membandingkan antara nasi di sini dengan nasi Vanggey di Ipoh, tetapi jika dipaksa buat pilihan sudah tentu saya pilih yang ini, sebab ia di Kuala Lumpur. Seperkara yang saya gemar, ia antara spot di KL yang mudah untuk parkir kereta. Jika saya mahu jumpa orang yang memandu, senang untuk tarik mereka ke area Kampung Attap ini. Selain itu dari sini, dekat untuk ke Pusat Dokumentasi Melayu di DBP.

2. Ras Balouch, Jalan Ipoh

Di waktu lewat malam pula, jika saya berada di Kuala Lumpur, saya akan singgah ke sini. Ia kawasan dengan sederet restoran Pakistan, tetapi saya tak pernah cuba yang lain. Menu wajib cuba bagi yang pertama kali tiba ke sini ialah kebab dagingnya (persis patties burger) dimakan dengan naan atau capati. Meski rasanya sudah semakin mild (kurang berempah dan pedas), jika dibanding sewaktu saya awal makan di sini beberapa tahun lalu, ia masih memuaskan. Teh susu lembu sentiasa saya pesan. Bila boring dengan roti, saya akan ambil nasi. Ia semakin ramai orang dewasa ini, membuatkan posisi untuk duduk di siar kaki berlangitkan malam, kena ikut nasib. Saya makin kerap ke sini apabila setiap minggu saya perlu ke KLpac bagi siri kelas The New Play Project selama 6 bulan.

3. Nasi Kukus Selera Timur, TTDI Jaya

Saya biasa ambil nasi satu setengah, kadang-kala bila lapar dua, dengan kuah campur dan satu lauk. Dulu ada itik serati yang saya gemar ambil, tetapi tahun ini menu ini telah hilang, dan bila ditanya katanya itik itu sudah susah untuk didapati. Ia buat saya sedar yang resepi masakan pun boleh pupus. Alternatif kepada itik serati, biasanya saya ambil ayam percik. Selain itu, di sini juga ada daging kerutuk, tetapi saya lebih prefer daging kerutuk yang dijual di kawasan rumah saya.

4. Subaidah, Space U8, TTDI Jaya

Ini tempat baru yang kebetulan saya jumpa selepas menonton wayang di tempat yang sama. Saya makan nasi kandarnya dengan lauk ayam tiga rasa atau ayam tandoori, dengan kuah campur dan sayur macam biasa, dan dalam masa sama suka saya minta yogurt bawang yang biasa diberi ke nasi briyani, tapi dalam konteks ni saya makan nasi putih. Telah dua kali saya ke sini dan ia menyelerakan. Ia akan jadi alternatif kepada nasi kukus di atas yang lebih murah. Lebih-lebih lagi lepas waktu pejabat ia jadi tenang dan tidak semak, saya sentiasa suka tempat makan yang tak ramai orang. Nota tambahan: saya pernah ke sini di waktu malam dan ia jadi suatu tempat yang teruk malah masakan goreng-gorengnya gagal, tapi saya fikir ia masih okay jika di waktu tengahari pasca tonton wayang.

5. Ichiro Sushi Bar, One Utama

Biasanya saya ambil set salmon untuk meraikan sesuatu. Dewasa ini saya juga menggemari kurita, tapi belum pernah dicuba di sini. Ia kedai paling mahal dalam senarai ini dan terletak di dalam pusat beli-belah (Space U8 pun pusat beli-belah tapi ia lain dan terbuka, jadi tak rasa terkedap). Terletak di tingkat atas, dan dalam bucu asing, ia sekali lagi sebuah ruang tersembunyi dan tak ramai orang, yang saya suka. Biasanya saya datang ke sini di waktu malam.

Anugerah khas:

6. Nasi padang, Taman Medan

Jika termasuk NPE, saya akan singgah ke sini untuk makan nasi dengan daging rendang. Ia sesak di waktu lunch hour dan saya tidak suka, malah rasanya boleh jadi tidak memuaskan dengan keramaian orang ini. Ia menjadi sedap apabila ia kosong dan kurang orang di waktu petang.

7. Mee kicap, Kapitol Cafe

Jika ada event di kawasan Sogo atau Maju Junction, dan saya tidak memandu, senang untuk saya ke kedai ini untuk makan mee kicapnya. Entah kenapa saya suka order mee kicap pun saya tidak tahu. Saya juga ada makan nasi padang di waktu tengahari dan satay di waktu petang, yang saya kira sedap, tapi benda utama saya nak makan yang membawa saya ke situ ialah mee kicap. Barangkali dengan situasi ramai orang, dan kadang-kala perlu berkongsi meja dengan orang lain, mee kicap membuatkan saya lebih bersedia untuk kembali berjalan selepas itu—ia antara kenyang tak kenyang, jika dibandingkan ambil nasi.

8. Mee rebus gerai Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh

Saya bukan penggemar mee rebus sehinggalah tiba ke gerai ini. Kuahnya rasa udang dan kentang. Sebelum ini bila saya makan mee rebus saya agak lost, kuahnya sepatutnya rasa bagaimana? Ia terletak jauh ke dalam, dan bila makan biasanya saya akan berpeluh kepanasan. Saya pernah terfikir jika berpeluang untuk makan mee rebus ini dengan tenang, sudah tentu kesedapannya akan bertambah beberapa kali ganda. Sudah lama saya tidak ke sini, terpanggil pula untuk ke sini.

– Ridhwan Saidi

Dalam koleksi buku saudara, apa lima buku yang paling saudara Ridhwan hargai dan nikmati? – Ilham Sani, whatsapp

Bila bercakap tentang buku, sudah tentu yang paling utama isinya, tetapi dalam memilih lima sahaja, saya cenderung untuk pilih berdasarkan desain buku tersebut sekali. Nikmat memegang dan menyelak, dengan kualiti kertas yang pelbagai untuk beri kesan emosi tertentu. Dalam konteks ini saya banyak memilih buku yang lebih grafik sifatnya. Lima buku tersebut ialah:

Toshio Saeki art book collection, Agrement Co. 1970, dicetak dan dijilid di Jepun. Barangkali buku paling rare saya ada, kerana bila di-google tiada imej atau info jelas yang ditemui. Ada versi ulang cetak tahun 2002 dan 2006, tetapi yang ini merupakan terbitan pertama Toshio sendiri. Perversion-nya persis Araki tetapi dunia gelapnya mengingatkan saya kepada kisah-kisah Edgar Allan Poe, cuma ia gelap dan ngeri dalam konteks orang Jepun.

Supertourist oleh Max Pam, Edition Bessard, 2013, dicetak dan dijilid di Perancis. Melancong dengan kamera, sebagai wadah kolonialiasi dalam skala individu? Buku/diari ini tidak segan mendekati Islam dan negara-negara Asia Tenggara dari sudut pandang liar, menggunakan efek diptik yang playful dan perverse. Ia terhad 500 naskah, dengan satu keping foto yang ditandatangan Max Pam.

Aila oleh Rinko Kawauchi, Little More, 2004, dicetak dan dijilid di Jepun. Kelahiran dan kematian dalam warna-warna pastel, kesinambungan dan kontras antara dua muka surat yang menggugat. Saya harap saya boleh ada lebih banyak buku-buku Rinko cuma ia boleh tahan mahal. Fotografer kontemporari kegemaran saya. Foto dipersembahkan dalam format buku, dengan sepenuh hati. Foto-foto tak sekadar jadi koleksi untuk dihimpunkan ke dalam buku, sebaliknya buku menjadi format persembahan foto-foto.

S,M,L,XL oleh Rem Koolhaas dan Bruce Mau, Monacelli Press, dicetak dan dijilid di China (versi counterfeit?). Buku yang tebal dan sukar dibaca (secara fizikal), tetapi untuk setiap muka surat yang dibelek akan ada sesuatu yang boleh diambil iktibar. Ia tidak menyerang dengan hanya kata-kata tetapi juga via tata letak dan desain dan imej. Diari sebuah kompeni OMA yang berdegup via arkiteknya.

The Works of Nobuyoshi Araki–16: Erotos, Heibonsha Limited, 1997, dicetak dan dijilid di Jepun. Ia bukan cetakan pertama 1993 dengan kulit keras dan lebih besar saiznya, tetapi versi ini dengan saiz yang lebih kompak persis sebuah novel buat saya rasa aneh untuk membeleknya, lagi pula foto-foto ini terselit ke dalam spine. Ia buat saya peka terhadap hal-hal kecil, dan betapa sensualnya kadang-kala tumbuh-tumbuhan dan objek seharian yang berlegar di sekitar diri kita.

– Ridhwan Saidi

Selain dari idea dan konsep yang menarik dalam Teater Modular yang menimbul nafas baru kepada pengkarya dan pengarah teater, apa implementasi atau penambahbaikan dalam Teater Modular ini yang memberi kesan kepada seorang ‘Aktor Pentas’? – Anwar Yusof, Facebook

Aktor pentas bukan sesuatu yang perlu ditekankan Teater Modular kerana ia sudah diisi oleh sekolah-sekolah yang mengajar teater. Ilmu lakonan diperturunkan di sana, dan saya rasa ramai saja aktor berbakat di luar sana.

Teater Modular ingin mengisi aspek lain yang saya percaya kurang iaitu naskah itu sendiri, membuka ruang bagi orang mengarah dan membuka ruang untuk orang produce. Kerana itu medannya playlet, ia pendek dan cocok bagi para amatur. Medan mainan bagi aktor pentas (dalam erti kata sebenar) perlu skala yang lebih panjang.

Dari segi hubungan aktor dengan teks, kita ada: 1. aktor baik membawa teks teruk dan 2. aktor teruk membawa teks baik. Sudah tentu yang terbaik ialah aktor yang baik membawa teks yang baik. Tapi kalau saya perlu pilih dua pilihan tadi, saya akan pilih yang kedua iaitu aktor teruk yang membawa teks yang baik. Mungkin penyampaiannya tidak berkesan, akan tetapi yang masih tinggal ialah kesan bunyi. Kita masih boleh dengar kata-kata dari teks dilafazkan. Ia menjadi persis sesi bacaan. Kita masih boleh ikuti cerita dan terima hikmahnya.

Manakala aktor yang baik membawa teks teruk pula, lebih sukar untuk dihargai. Jika penyampaiannya baik, maka ia sebenarnya sedang menyampaikan sesuatu yang teruk secara berkesan. Dan tiada yang lebih memudaratkan audien selain ini.

– Ridhwan Saidi

Baru-baru ni dapat kopi percuma—segar dari ladang. Diberikan sedara yang baru pulang dari kampung. Selama ni biasa minum Nescafe dan teh ais. Macam keluarga, saya tak berapa in dengan kopi. Tapi memandangkan ini pemberian sedara, rasa tak baik bazirkan. Jadi ada rasa nak cuba. Ada cadangan tak, nak bancuh macam mana kopi ni? – Ormiles, Emel

Ia biji kopi atau serbuk kopi? Untuk masak kopi saya senang dengan moka pot, cuma bukan sebarang serbuk kopi berkesan dengan mesin ini. Saya pernah cuba beberapa jenama kopi lokal tetapi ia tidak kena dengan teknik ini. Ia lebih berkesan bila dibancuh biasa. Estetika kopi o Melayu lebih mendekati bancuhan air sirap. Saya tidak gemar kopi o yang dibancuh manis, lebih rasa gula dari kopi (yang biasa kita dapat di kedai-kedai). Dan kopi lokal tanpa gula biasanya pahit. Ia kurang beri lapisan-lapisan rasa lain, yang boleh kita temui dalam kopi yang baik.

– Ridhwan Saidi

Apa pandangan RS mengenai komik? – Afa Nil, Facebook

Komik antara medium seni termoden, malah lebih lambat lahir berbanding filem dan photobook. Ada suatu ketika sebelum menulis Brazil saya banyak baca novel grafik seperti Watchmen, V for Vendetta, Saga of the Swamp Thing (sangat puitis), Animal Man, All Star Superman dan beberapa lagi. Selepas itu saya baca enam jilid Akira. Saya pernah rajin ke Kinokuniya untuk belek Persepolis dan komik-komik lain. Di rumah sedang baca Seraphim: 266613336 Wings. Dan di masa depan tertarik untuk belek Here oleh Richard McGuire. Sewaktu sekolah menengah saya rajin ke kedai komik. Saya masih simpan newsprint Comic Shop News yang diambil secara free.

– Ridhwan Saidi

Adakah anda seorang pelajar yang cemerlang dalam subjek matematik ketika di bangku sekolah dulu? – Saat Omar, Facebook

Ya, saya sentiasa mendapat A dalam subjek matematik moden, tapi memori atau ingatan saya bersama mata pelajaran matematik ini tidak jelas. Sebaliknya saya lebih ingat matematik tambahan, yang mana sewaktu ujian pertama, ia kali pertama saya mendapat result dengan angka satu digit. Tidak silap saya saya dapat tujuh atau lapan markah begitu, per seratus. Kawan di sebelah saya dapat sifar. Selepas itu berkat dua tahun belajar, ia semakin naik hingga jadi enam puluh lebih.

Saya juga lebih mendekati buku teks matematik tambahan kerana ia bersaiz lebih kecil, meski tebal, dan untuk setiap bab, akan ada ilustrasi dan penerangan comel, tentang sejarah dari mana sesuatu rumus itu muncul. Saya masih boleh ingat desain buku teks matematik tambahan ini. Saya masih boleh ingat beratnya apabila ia dimasukkan ke dalam beg sekolah.

– Ridhwan Saidi